Tuesday, 2 October 2012

Wong Mee Choo Letak Jawatan



JODOH bekas ratu badminton negara Wong Mew Choo dengan kerjaya kejurulatihan yang berputik selama dua tahun berakhir selepas beliau meletakkan jawatan sebagai jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkuat kuasa semalam.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan mengenai hal itu dengan menyatakan alasan peribadi diberi Mew Choo dalam surat peletakan jawatan beliau.

“Memang Mew Choo meletakkan jawatan sebagai jurulatih kami berkuat kuasa hari ini (semalam), tapi surat peletakan jawatan ini sudah diserahkan sejak dua tiga minggu lalu,” kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

“Dalam surat itu ada menyatakan alasan peribadi sebagai punca peletakan jawatan, dan kami menghormati keputusannya.” Ketika ditanya sama ada BAM ada memujuk jurulatih yang pernah muncul juara Terbuka China 2007 itu untuk terus melatih pemain remaja negara, Kenny berkata Mew Choo amat berminat untuk terus kekal sebagai jurulatih tapi tidak mampu lagi melakukannya kerana komitmen terhadap alasan peribadi yang tidak dijelaskan.

Mew Choo, 29, yang dihubungi enggan melayan panggilan, sebaliknya kakaknya saja yang menjawab setiap panggilan.

Ironinya peletakan jawatan Mew Choo ini berlaku pada hari jurulatih perseorangan wanita kebangsaan Chi Shanrong kembali bertugas semula di SSBJ.
Adakah beliau tidak senang dengan kehadiran jurulatih dari China itu atau ada alasan lain.

Namun tidak mustahil peletakan jawatan ini ada kaitan dengan perkahwinan Mew Choo dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang dijangka berlangsung tahun depan.

Mungkin Mew Choo mahu fokus kepada kehidupan bergelar isteri dengan mengetepikan semua impiannya untuk melatih pemain remaja negara, apa lagi ketika pemain bimbingannya di tingkatan empat dan lima SSBJ akan menghadapi cabaran besar Kejohanan Remaja Dunia di Chiba, Jepun 25 Oktober hingga 3 November ini.

“Saya tidak pasti apa punca sebenar Mew Choo meletakkan jawatan, tapi dia tiada masalah dengan Shanrong. 

Namun tempatnya sebagai jurulatih perseorangan wanita tingkatan empat dan lima akan diambil alih sementara oleh Shanrong kerana Kejohanan remaja Dunia semakin hampir.

“Kami tidak mahu mengganggu terlalu banyak program latihan. “Mungkin selepas berakhir Kejohanan Remaja Dunia nanti, kami akan lakukan perubahan jurulatih di SSBJ,” kata Kenny.

Kejayaan terbesar peribadi Mew Choo sepanjang bergelar pemain badminton profesional adalah muncul juara Terbuka China dengan menewaskan barisan pemain terkuat negara China pada 2007 serta menjuarai Siri Super Masters Final yang berlangsung di Johor Bahru pada 2009.

No comments:

Post a Comment