Sunday, 24 June 2012
BAM labur RM240j
Sebagai respons kepada krisis ketandusan pemain kelas dunia yang sedang dihadapi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia berbelanja besar dengan menampilkan projek 12 tahun yang dijangka menelan RM240 juta mulai tahun depan.
BAM pada mesyuarat majlis semalam membincangkan mengenai bentuk pengisian serta program yang bakal digunakan sepanjang tempoh 12 tahun itu dan ia akan diumumkan secara rasmi selepas Sukan Olimpik 27 Julai hingga 13 Ogos ini, kata Presidennya Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.
"Ini adalah kali pertama BAM memperkenalkan program untuk tiga Sukan Olimpik sekali gus kerana biasanya projek khas diwujudkan untuk setiap temasya. Kami sedar pendekatan lama tidak boleh dipakai kerana negara seperti China, Korea dan Jepun bergerak sangat pantas.
"Bagaimanapun setiap perubahan dan perancangan besar pasti turut menelan kos tinggi. Kami menganggarkan apabila program ini dilancarkan tahun depan, ia memerlukan BAM mengeluarkan RM20 juta setahun. Namun kami tiada pilihan kerana kalau kami tidak tampil dengan sesuatu yang besar dan berani, kami tidak dapat mengejar negara utama lain,'' ujar Nadzmi.
Nadzmi menambah, badan badminton itu sudah mempunyai pelan kasar mengenai sistem latihan serta program yang bakal memfokuskan kepada pemain peringkat umur itu. Namun ahli majlis BAM mahu ia diperhalusi kerana ia melibatkan banyak aspek daripada struktur kejurulatihan, persatuan negeri dan kewangan yang besar.
"Pelan ini apabila dilaksanakan turut melibatkan persatuan negeri (pembinaan kem latihan satelit di negeri-negeri). Kami mahu mereka meningkatkan peranan melahirkan lebih ramai bakat, juga melibatkan program Sekolah Sukan Bukit Jalil serta pembangunan pemain," katanya.
Label:
BAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment