Friday 29 June 2012

"Saya tak mahu jadi Gade/Taufik.."


Biar apa pun keputusan yang bakal dicatat pada Sukan Olimpik London bulan depan, Datuk Lee Chong Wei menegaskan, ia akan menjadi penampilannya yang terakhir pada temasya sukan terbesar di dunia itu dan dia tidak akan kembali di Rio de Janeiro 2016.

Chong Wei, yang bakal membuat penampilan ketiga Sukan Olimpik menegaskan, dia tidak pernah berhasrat untuk menjadi seperti bekas jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade atau bintang Indonesia, Taufik Hidayat yang berada begitu lama di lapangan, sebaliknya menetapkan Kejohanan Dunia (2013, 2014), Sukan Asia 2014 serta Sukan Komanwel 2014 sebagai misi besar terakhir.

"Pada Sukan Olimpik akan datang, saya sudah bersara. Tidak kira apa berlaku di London (berjaya atau gagal), ia tidak akan merubah keputusan saya. Bila fikirkan tentang semua kecederaan yang dialami, saya hampir berputus asa. Tidak mungkin saya boleh bermain lebih lama lagi, biarpun keadaan fizikal saya masih bagus ketika itu.

"Saya tidak mungkin akan ikut jejak Taufik atau Peter Gade. Saya hanya akan beraksi sampai Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2014, selain Kejohanan Dunia,'' ujar Chong Wei pada majlis makan tengahari bersama media yang dianjurkan buat kali pertama di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Biarpun memasuki usia 36 tahun, Gade masih aktif dalam kejohanan kompetitif dan bakal membuat penampilan keempat Sukan Olimpik di London. Bagi Taufik, walaupun baru berusia 31 tahun, namun dia adalah veteran di pentas dunia kerana telah beraksi sejak usia 16 tahun. Dia membuat penampilan sulung Olimpik pada 2000, diikuti 2004 (muncul juara) dan 2008.

Sementara itu, Chong Wei, 29, turut menambah, biarpun ramai yang menganggap kariernya tidak lengkap kerana belum menggondol kejuaraan utama dunia seperti Olimpik dan dunia, namun itu tidak bermakna dia bukan seorang jaguh yang sempurna atau berhak dibandingkan dengan Lin Dan dan Taufik.

"Ya, Lin Dan mungkin hebat kerana telah memenangi semua kejuaraan utama, tetapi Taufik tidak pernah menjuarai All England dan Peter Gade tidak pernah muncul juara Olimpik atau dunia. Saya rasa, tak patut hendak banding saya dengan pemain-pemain ini kerana kami berada dalam situasi berbeza.

"Hanya kerana tidak memenangi gelaran besar, ia tidak bermakna anda tidak bagus. Kadang kala, kemuncak permainan anda hadir pada kejohanan utama dan kadang kala ia hadir dalam kejohanan biasa," tambah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 itu.

Mengulas mengenai keadaan fizikalnya 30 hari sebelum acara badminton Olimpik membuka tirai di Wembley, 28 Julai ini, Chong Wei berkata, dia belum berada di tahap terbaik dan masih menjalani pemulihan kecederaan buku lali, namun dia percaya mampu berada di tahap 100 peratus dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, peluang untuk mencari pingat belum berkubur, malah menganggap kecederaan yang dialami ada hikmahnya. "Sudah cedera, saya tak boleh buat apa kena terima saja. Mungkin ada baiknya juga untuk saya, tiada tekanan tinggi".

No comments:

Post a Comment