Monday, 25 June 2012

Tak perlu panik-Shabery


Rakyat Malaysia tidak perlu panik melihat kejatuhan ranking pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada seteru ketatnya dari China, Lin Dan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, senario naik turun ranking perkara biasa dan ia menjadikan sukan itu lebih menarik.

Katanya, ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai alasan untuk memandang negatif terhadap jaguh badminton negara itu.

''Kita tidak boleh terlalu ghairah bila ranking Chong Wei turun, maka habislah kita dan sebagainya. Sebaliknya, kita perlu memberi sokongan kepada beliau untuk kembali bersaing.

''Ini akan menjadikan Chong Wei kembali cergas untuk berusaha lebih gigih bagi merebut kembali gelaran No. 1 itu daripada Lin Dan,'' katanya kepada pemberita pada larian Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon 2012 di Dataran Merdeka, semalam.

Selepas memegang rekod sebagai pemain badminton No. 1 selama empat tahun, penguasaan Chong Wei akhirnya berpindah milik kepada Lin Dan.

Kejatuhan itu antara lain disebabkan masalah kecederaan dialami pemain berusia 29 tahun itu yang mengganggu aksinya dalam beberapa kejohanan termasuk terlepas Terbuka Indonesia.

Ahmad Shabery dalam pada itu berkata, kementeriannya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memantau situasi kecederaan yang dihadapi Chong Wei.

Ketika ditanya sama ada perkara itu akan menjejaskan peluang Chong Wei meraih emas pertama negara pada Sukan Olimpik London bulan depan, beliau berkata, ia akan membuatkan perlawanan antara Chong Wei dan Lin Dan menjadi sengit dan ditunggu-tunggu peminat.

Sementara itu, lebih 28,000 orang menyertai larian yang dilepaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

No comments:

Post a Comment