Tuesday 14 May 2013

Pusat Badminton Sri Sinar Segambut Dalam


PENGGEMAR badminton tidak perlu lagi buntu fikiran jika mahu mencari gelanggang sukan tersebut yang turut menawarkan kemudahan terbaik.

Pusat Badminton Sri Sinar di Segambut Dalam berdekatan Sri Hartamas, Kuala Lumpur sudah dijadikan tempat untuk komuniti setempat dan dari lokasi sekitarnya beriadah.

“Kami memperkenalkan jenama paling popular di Denmark dan beberapa negara Eropah, FZ Forza. Forza ingin memulihkan semula populariti gelanggang ini dengan membuka akademi badminton kepada generasi muda untuk bergiat aktif,” demikian kata Pengurus Asia FZ Forza, Bjarne Jeppesen.

“Kami mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menilai kepenggunaan serta keperluan rakyat Asia yang mempunyai saiz dan tangan yang lebih kecil berbanding pemain Eropah,” tambahnya.

Bercakap mengenai akademi, duta FZ Forza di Malaysia, John Micheal memberitahu, pihaknya mempelawa kanak-kanak dan remaja menyertai akademi itu dengan bayaran keahlian RM150 sebulan. Kelas akan berlangsung setiap hari Sabtu dari pukul 1 petang hingga 3 petang dengan bantuan jurulatih berpengalaman termasuk Micheal sendiri.

“Buat masa sekarang kami mempunyai kira-kira 20 orang ahli. Jika kanak-kanak yang menyertai akademi itu dilihat berpotensi tetapi menghadapi masalah kewangan, kami di Forza sedia memberi bantuan dan mengasah bakatnya sehingga berjaya,” katanya yang membuka peluang kepada orang awam yang tidak mempunyai latar belakang kesukanan untuk menyertainya.

“Raket badminton dijual dalam lingkungan harga antara RM200 hingga RM400. Bulu tangkis pula RM58 bagi satu tiub dan baju-T berharga RM80. Selain itu, kedai ini menawarkan khidmat membetulkan tali raket yang terputus,” kata pemilik kedai JJ Sports House yang membekalkan barangan FZ Forza, Ong Jia Juen.

“Pusat ini mempunyai 10 gelanggang badminton dan sebuah kedai pusat jualan produk FZ Forza di samping tempat letak kereta yang mencukupi,” kata pemilik pusat badminton tersebut, Lim Jun Hong.

Hanya beberapa minit dari Sekolah Kebangsaan Sri Sinar, Segambut, pusat badminton itu menawarkan bayaran yang berpatutan bagi menarik penglibatan orang ramai.

Pada hari Isnin hingga Jumaat, caj sebanyak RM8 sejam dikenakan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dan RM16 sejam dari pukul 6 petang hingga 7 malam serta pukul 11 malam hingga 12 tengah malam. Dari pukul 7 malam hingga pukul 11 malam pula, cajnya adalah RM22 setiap jam.

“Pada hujung minggu, bayaran yang dikenakan ialah RM12 pada jam pertama, RM20 jam kedua dan berkurangan dari segi nilai tambahan pada jam-jam seterusnya. Waktu bermain ialah dari pukul 9 pagi hingga 6 petang,” terang Jun Hong.sumber-KOSMO

No comments:

Post a Comment