Monday 13 August 2012

BAM MASIH BERTEKA-TEKI


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih berteka-teki berhubung perancangan bagi mempersiapkan barisan pemain negara menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Setiuasaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Jawantankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) dan mendapat persetujuan daripada ahli majlis badan induk itu.

“Buat masa ini, kami (BAM) masih belum melakukan sebarang perbincangan lagi mengenai hal tersebut.

“Mungkin selepas mesyuarat CTC yang dijangka akan diadakan pada penghujung bulan ini barulah kita boleh mengumumkan mengenai program bagi Sukan Olimpik 2016,” kata Chin Chai ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, timbul spekulasi yang mengatakan BAM kini sedang mengintai kelibat dua jurulatih berprofil tinggi, Park Joo-bong (Korea Selatan) dan Li Mao (China) bagi mengetuai barisan jurulatih skuad badminton negara.

Ia sebagai salah satu perancangan badan induk itu yang dijangka mengubah struktur program latihan barisan pemain negara untuk lebih bersedia menghadapi temasya berprestij dunia itu.

Sebagai rekod, Joo-bong yang kini merupakan ketua jurulatih Jepun dan Li Mao (jurulatih Indonesia) pernah membimbing skuad negara.

Ditanya mengenai hal tersebut, Chin Chai berkata: “Tidak ada sebarang perbincangan diadakan dengan kedua-dua jurulatih itu.

“Dalam hal ini, BAM mengambil sikap terbuka kerana jika kami mahu melantik jurulatih baharu, kami bersedia mempertimbangkan mana-mana jurulatih yang dilihat layak untuk melatih skuad negara.

“Namun, tidak mustahil Joo-bong dan Li Mao turut berada dalam senarai jurulatih yang akan dipertimbangkan. Ini kerana, individu itu mestilah terdiri daripada calon yang benar-benar layak.

“Saya akui untuk merangka program Sukan Olimpik 2016, kami juga perlu bersedia untuk mempertimbangkan kemasukan jurulatih baharu,” jelas Chin Chai.

BAM dikritik hebat selepas kegagalan skuad badminton negara memenangi satu pingat emas seperti yang diletakkan sebagai sasaran pada Sukan Olimpik 2012 di London yang telah melabuhkan tirainya awal pagi tadi.

Sebaliknya, hanya pingat perak yang berjaya diraih menerusi jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakarnya pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

No comments:

Post a Comment