Wednesday 22 August 2012

DILEMA SEU BOCK


HAMPIR dua tahun Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek terpisah dengan restu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang makin gemar melepaskan jurulatih berkualiti, bagaimana pula nasib jurulatih Tey Seu Bock selepas ini?

Tidak dinafikan Chong Wei tetap berjaya mengekalkan tahap permainan tertinggi dengan membawa pulang pingat perak Olimpik buat kali kedua, namun adakah pencapaian Chong Wei itu lebih meningkat di bawah ‘pemantauan’ Seu Bock, selepas Misbun meletakkan pemain itu pada satu tahap digeruni di peringkat dunia atau sampai giliran jurulatih lain mengemudi Chong Wei selepas ini.

Seu Bock yang dikemukakan soalan itu bagaimanapun tidak mampu memberi kenyataan lebih kukuh mengenai kedudukannya selepas ini.

“Entahlah, saya tidak tahu dan tidak pasti lagi sama ada akan terus melatih Chong Wei atau tidak,” kata Seu Bock.

“Terpulang kepada Chong Wei dan BAM menentukan, saya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai isu ini.” Sejak Misbun meletak jawatan pada 31 Disember 2010, BAM memutuskan pembantu Misbun iaitu Seu Bock terus bersama Chong Wei kerana dia sudah masak dengan regim latihan disediakan Misbun kepada pemain yang kini berada di ranking kedua dunia.

BAM ketika itu memberi alasan Chong Wei tidak perlukan jurulatih yang hebat kerana pemain itu sudah boleh berdikari, cuma memerlukan bantuan pemantauan saja.

Memandangkan matlamat BAM memberi tumpuan penuh kepada persiapan Chong Wei untuk Olimpik London, sehingga Seu Bock sekadar memainkan peranan menguruskan latihan pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Kini perlukah jurulatih terbabit terus melatih Chong Wei atau adakah lebih baik beliau kembali membantu Rashid Sidek menaikkan semula prestasi tiga pemain elit iaitu Liew Daren, Chong Wei Feng dan Chan Kwong Beng yang masih jauh ketinggalan berbanding pencabar negara lain terutamanya dari China dan Jepun, biarpun usia mereka kini mencecah 25 tahun

No comments:

Post a Comment