Wednesday 3 October 2012

BAM Tiada Pendirian


APAKAH kriteria Pengurus Projek yang diinginkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Mesyuarat Majlis 19 September lalu menolak nama bekas ketua jurulatih kebangsaan 2000-2003, Park Joo Bong kerana mahukan calon tempatan, namun kini kembali memburu ketua jurulatih Jepun itu.

Pada mesyuarat Majlis lalu juga, Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh berkata, Pengurus Projek yang dicari tidak semestinya seorang yang berpengalaman luas dalam badminton kerana hanya perlukan individu yang boleh mengurus bagi melaksanakan Projek 2016, 2020 dan 2024.

Malah Nadzmi juga menolak nama Joo Bong dalam sidang media selepas itu kerana menurut beliau, BAM mahu memburu atau mencari seorang pengurus berkelayakan bagi memegang jawatan besar itu.

Begitupun hingga ke hari ini, timbul pula alasan tiada calon tempatan berkelayakan sedangkan badan induk itu langsung tidak mengiklankan jawatan terbabit, mungkin belajar dari kesilapan mengiklankan jawatan Pengarah Prestasi Tinggi (HPD) lalu, apabila calon-calon yang hadir, bukannya calon yang boleh ‘dicucuk hidung’ oleh mereka.

Tidak dapat dinafikan Joo Bong ada kelayakan tinggi selepas berjaya membawa badminton Jepun ke tahap terbaik dalam sejarah negara itu namun BAM nampaknya tidak cukup telus selepas enggan mengiklankan jawatan itu sebaliknya mengatakan tiada calon yang sesuai.

Malaysia sebenarnya tidak pernah kemarau tokoh pentadbir yang boleh mengurus di tahap tertinggi di pentas antarabangsa seperti Tan Sri P Alagandra dalam sukan hoki, Paul Windsor yang pernah dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Fifa, Mohd Saifuddin Abu Bakar, kini Ketua Pertandingan Liga Qatar Stars dan Shebby Singh yang kini bergelar Penasihat Global kelab Liga Perdana Inggeris, Blackburn Rovers.

Itu semua contoh secara umum betapa Malaysia mempunyai pentadbir berkaliber malah lebih dekat dengan dunia badminton pastinya dua orang kuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), M Venugopal yang kini bertugas sebagai Pengurus Kejohanan BWF serta V Selvam (Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Siri Super BWF).

Mengapa BAM tidak menawarkan jawatan terbabit kepada dua nama ini sedangkan Venugopal cukup berpengalaman sebagai Pengurus Projek skuad badminton bagi Sukan Komanwel 1998 ataupun Selvam, bekas guru yang pernah menjadi jurulatih badminton Sekolah Sri Garden.

Apapun jika benar BAM ikhlas melakar program jangka panjang 12 tahun untuk kebaikan badminton negara, mereka perlu ikhlas mencari calon dengan membuka peluang kepada mereka yang berkelayakan.

Tapi jika BAM tetap mahukan Joo Bong, mereka perlu memberi kuasa penuh kepada jurulatih itu, bukannya membataskan kuasa seperti yang berlaku sekitar 2000 hingga 2003.

No comments:

Post a Comment