Tuesday 9 October 2012

Zakry-Fairuzizuan Tekad Rampas Beregu Lelaki no.1 Negara


GANDINGAN Koo Kien Keat-Tan Boon Heong nampaknya sudah tidak boleh terlalu selesa dengan status selaku beregu No. 1 negara.

Ini kerana, Kien Keat-Boon Heong sudah ada ancaman dalam usaha mereka mereka mengekalkan status tersebut.

Beregu profesional negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari membuktikan gandingan mereka masih relevan selepas menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Taiwan 2012 kelmarin.

Kejayaan itu hadir selepas Zakry-Fairuzizuan menewaskan beregu Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 21-12, 21-14 pada perlawanan akhir kelmarin.

Ia sekali gus meletakkan mereka pada landasan tepat dalam usaha merampas status sebagai beregu No. 1 negara biarpun kini bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).

Mungkin masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa Zakry-Fairuzizuan mampu menggugat status Kien Keat-Boon Heong namun kejayaan di Taiwan dianggap sebagai satu petanda terhadap kebangkitan mereka.

Mengakui sukar untuk melaksanakan matlamat tersebut dalam tahun ini berdasarkan kedudukan ranking dunia, Zakry-Fairuzizuan optimis ia mampu direalisasikan pada tahun depan.

“Memang kami mahu mengambil alih status selaku beregu No. 1 negara kerana ia bukan suatu yang mustahil.

“Namun, untuk melakukannya pada tahun ini memang sukar dan mengambil sedikit masa kerana kami ketinggalan jauh berdasarkan kedudukan ranking dunia. Ketika ini, kami menghuni rangking No. 27 dunia manakala Kien Keat-Boon Heong menghuni ranking No. 6.

“Jadi, jika semuanya berjalan mengikut perancangan dan kami boleh mengekalkan konsistensi kami pada kejohanan-kejohanan akan datang, tahun depan adalah masa yang paling tepat untuk mencabar kedudukan Kien Keat-Boon Heong,” kata Zakry ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Melihatkan kepada matlamat tersebut ia memang sukar tetapi jika Kien Keat-Boon Heong terus bergelut dengan prestasi tidak menentu seperti mana yang dialami mereka sebelum ini, peluang Zakry-Fairuzizuan pasti akan tiba.

Namun, dengan syarat, mereka perlu kekal konsisten dan melakarkan seberapa banyak kejayaan yang boleh dalam mana-mana kejohanan disertai selepas ini.

“Saya yakin kami boleh melakukannya. Persembahan kami di Taiwan adalah yang terbaik selepas setahun kami bergandingan semula.

“Lagipun, kami sudah mula mendapat rentak permainan semula dan tahap keyakinan diri kami juga semakin meningkat. Ini merupakan petanda positif bagi karier kami dalam sukan badminton.

“Apa yang akan kami lakukan selepas ini adalah terus mengikut program latihan yang telah dirancang oleh jurulatih (Razif Sidek). Dalam masa yang sama, kami akan memperbaiki segala kelemahan,” jelas Zakry.

Sebagai rekod, kejuaraan di Taiwan adalah yang pertama buat Zakry-Fairuzizuan sebaik bergandingan semula selepas membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ogos 2011.

Sebelum itu, pencapaian terbaik mereka ialah muncul naib juara pada GP Emas Terbuka Thailand Jun lalu.

Kali terakhir gandingan mereka bergelar juara adalah pada Siri Super Terbuka India 2010 sebelum mereka dipisahkan oleh BAM.

No comments:

Post a Comment