Wednesday 24 October 2012

Peluang Zakry- Fairuz Cabar Pemain Negara..


BEREGU lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong perlu menewaskan pasangan No. 2 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Itu harapan yang diletakkan ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her kepada pasangan tersebut pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis 2012 yang bermula semalam.

Thien How-Wee Kiong akan memulakan cabaran pada kejohanan yang berlangsung di Paris, Perancis itu menentang beregu Jerman, Peter Kaesbauer-Josche Zurwonne pada aksi pusingan pertama hari ini.
Bagaimanapun, tugas sukar menanti mereka kerana dijangka menentang Boe-Mogensen jika mara ke pusingan kedua.

Boe-Mogensen yang turut memulakan aksi hari ini diramal tidak berdepan halangan sukar untuk menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiwan dan sekali gus melangkah ke pusingan kedua.

Justeru, Kim Her mahu anak didiknya itu bersiap sedia dari aspek mental dan fizikal bagi menewaskan Boe-Mogensen seandainya kedua-dua pasangan tersebut berjumpa pada pusingan kedua.

“Saya mahu mereka menang jika berdepan Boe-Mogensen. Jika berjaya, ia sudah pasti akan meningkatkan tahap keyakinan mereka bagi meneruskan saingan pada pusingan seterusnya nanti.

“Memang sukar tetapi bukan mustahil. Berdasarkan prestasi semasa, saya percaya Thien How-Wee Kiong boleh melakukannya,” kata Kim Her ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Menurut beliau, ia merupakan peluang terbaik buat Thien How-Wee Kiong untuk mencipta kejutan ke atas jaguh beregu dunia itu.

“Biarpun ada kalanya mereka bergelut dengan prestasi tidak menentu tetapi mereka menunjukkan corak permainan yang konsisten. Saya percaya jika mereka terus mempamerkan peningkatan, mereka boleh memperbaiki ranking dunia.

“Ini adalah masa yang terbaik untuk membuktikan kemampuan mereka,” jelas Kim Her.
Ketika ini, Thien How-Wee Kiong merupakan beregu kedua terbaik negara apabila menghuni ranking No. 20 dunia di belakang gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menghuni tangga keenam.

Kien Keat-Boon Heong yang muncul naib juara Terbuka Denmark, Ahad lalu turut memulakan aksi hari ini menentang pemain kelayakan.

Dua beregu profesional negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari dan Ong Soon Hock-Gan Teik Chai turut beraksi hari ini.

Soon Hock-Teik Chai turut memperlihatkan kematangan kebelakangan ini selepas muncul naib juara Terbuka Belanda dua minggu lalu.

Zakry-Fairuzizuan akan menentang beregu England, Chris Adcock-Andrew Ellis manakala Teik Chai-Soon Hock berdepan pilihan ketujuh, Bodin Issara-Maneepong Jongjit dari Thailand.

No comments:

Post a Comment