Tuesday 9 October 2012

Sirkit Kebangsaan Terbuka Pahang


Sirkit Kebangsaan Terbuka Pahang yang bermula hari ini menyaksikan pilihan utama beregu wanita, Woon Khe Wei-Vivian Hoo terpaksa menarik diri kerana Khe Wei mengalami kecederaan, pemain utama kedua selepas Chong Wei menarik diri.

Begitupun BAM menerusi Kenny menafikan kejohanan itu suram sebaliknya membuka saingan lebih sengit kepada pemain lain untuk merebut kejuaraan.

Ketiadaan Khe Wei-Vivian dalam beregu wanita menyaksikan peluang terbuka kepada semua pemain, kerana pilihan kedua Goh Liu Ying-Lim Yin Loo juga sekadar gandingan tetap yang masih baru bersama.

Dalam perseorangan lelaki pula, peluang terbuka buat pemain muda menonjol dengan Liew Daren sebagai pilihan utama, Chong Wei Feng kedua.

Malah pemain bimbingan Hendrawan seperti Mohd Arif Latif, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain dan Goh Soon Huat berpeluang melakar kejutan kali ini.

Dalam beregu lelaki pula, tumpuan tetap terarah kepada gandingan utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta beregu muda lain dengan ancaman tentunya daripada pilihan kedua iaitu pemain yang kini di bawah KLRC, Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Taiwan.

Vivian yang terpaksa melepaskan peluang meraih gelaran dalam beregu wanita masih mampu memburu kejuaraan dalam beregu campuran apabila dia bergandingan dengan Lim Khim Wah.

Begitupun bukan mudah untuk dia mengancam penguasaan pilihan utama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pilihan kedua Ong Jian Guo-Lim Yin Loo.

Malah gabungan gandingan pemain berpengalaman, Tan Boon Heong-Chin Eei Hui mungkin bakal memecahkan penguasaan gandingan utama beregu campuran kali ini.

No comments:

Post a Comment