Monday 8 October 2012

Zakry-Fairuzizuan Tunjuk Bisa


BEREGU lelaki negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari membuktikan bahawa gandingan mereka masih relevan.

Semalam, pasangan itu merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Taiwan 2012.

Zakry-Fairuzizuan yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KL- RC) mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan pertama, Angga Pratama Ryan Agung Saputra dari Indonesia pada aksi final semalam.

Zakry-Fairuzizuan hanya mengambil masa selama 27 minit bagi menewaskan pasangan Indonesia itu 21-12, 21-14.

Sebagai rekod, ia merupakan kejuaraan pertama yang dirangkul Zakry-Fairuzizuan tahun ini.

Sebelum ini, pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara pada GP Emas Terbuka Thailand, Jun lalu.

"Alhamdulillah, kami (Zakry-Fairuzizuan) berjaya muncul selaku juara kali ini. Memang sangat gembira dengan kejayaan ini.

"Selepas setahun kami kembali bergandingan, ini merupakan pencapaian terbaik kami.
"Sebelum ini, pada Terbuka Thailand kami sekadar muncul naib juara sahaja.
"Saya harap, kami dapat mengekalkan konsistensi ini untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang," kata Zakry.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh yang diletakkan sebagai pilihan kedua muncul juara selepas mencatatkan kemenangan ke atas Chou Tien Chen dari Taiwan 21-11, 21- 17.

Pemain Taiwan, Tai Tzu Ying yang diletakkan sebagai pilihan pertama menepati ramalan apabila mengungguli saingan dalam acara perseorangan wanita hasil kemenangan ke atas Lindaweni Fanetri dari Indonesia 21-19, 20-22, 22-20 pada aksi final semalam.

Gelaran juara dalam acara beregu wanita menjadi milik pasangan Indonesia, Pia Zebadiah Bernadeth-Rizki Amelia Pradipta yang mencipta kejutan menewaskan rakan senegara selaku pilihan keempat, Suci Rizky Andini-Della Destiara Haris 21- 15, 21-12.

Beregu campuran Indonesia, Muhammad Rijal-Debby Susanto turut cemerlang apabila menundukkan cabaran pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah 21-14, 21-14 untuk mengesahkan status selaku juara.

No comments:

Post a Comment