Thursday 4 October 2012

Park Joo Bong Hampir Pasti Kembali Ke Malaysia



PARK Joo Bong makin hampir kembali membantu menaikkan semula prestasi badminton negara di persada dunia selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengadakan pertemuan khas bertujuan mendapatkan persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Delegasi BAM diketuai Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, Setiausaha Kehormat Ng Chin Chai, Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abd Majid (Timbalan Presiden), Datuk Lim Teong Kiat (Bendahari) serta Kenny Goh (Pengurus Besar) bertemu Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan pertemuan itu dianggap mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak.

“Kami bertemu MSN untuk berbincang mengenai calon Pengarah Kejurulatihan yang akan diisi bagi posisi Pengurus Projek. Lazimnya bagi jawatan tinggi, belanja juga besar dan kami perlukan bantuan mereka,” kata Nadzmi di Pejabat Zolkples semalam tapi enggan mendedahkan nama sebelum mencapai kata sepakat dengan calon terbabit.

“Kita ada seorang calon tapi biarlah kami umumkan namanya selepas semuanya selesai.” Ketika ditanya mengenai bekas ketua jurulatih kebangsaan 2000-2003 iaitu Joo bong, Nadzmi berkata: “Pihak kami ada merisik beliau dan maklum balasnya baik, beliau berminat.

“Untuk mendapatkan seorang calon yang baik dan diburu pihak lain di pasaran, kita perlu cepat bertindak kerana jika lambat, kita akan terlepas, itu sebabnya kami minta persetujuan MSN.” Nadzmi mengaku calon yang BAM kemukakan kepada MSN mempunyai latar belakang teknikal yang amat bagus.

“Kami akan mengadakan satu lagi perbincangan dengan calon terbabit biarpun beliau menyatakan minat dan suka berkhidmat dengan BAM.

“Hal ini akan diuruskan secepat mungkin kerana kami mahu gunakan khidmatnya awal tahun depan walaupun kontrak beliau dengan negara yang beliau berkhidmat kini belum berakhir,” katanya.

Jika semua urusan berjalan lancar, Joo Bong dijangka mengikat kontrak dengan BAM selama dua atau tiga tahun dengan pilihan kontrak lanjutan, selaras dengan kitaran Olimpik yang akan menjadi penilai prestasi beliau.

No comments:

Post a Comment