Wednesday 31 October 2012

Daren Sasarkan Terus Konsisten


KEJUARAAN memang manis dan mahu sentiasa diulangi, namun bagi juara Terbuka Perancis Liew Daren, gelaran yang dimenangi itu tidak mengaburi mata sebaliknya tetap membuatnya merendah diri dengan hanya meletakkan sasaran untuk terus konsisten di persada antarabangsa.

Meskipun mengakui tidak mampu membendung kegembiraan dengan kejayaan yang langsung tidak dijangkakan itu, Daren jelas mendapat suntikan motivasi bagi menjawab setiap kritikan selama ini.

“Sasaran saya selepas ini adalah meneruskan aksi konsisten dengan sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir dalam setiap kejohanan yang disertai,” kata Daren, 25.

Baki tahun ini, Daren akan menyertai dua kejohanan Siri Super iaitu Terbuka China dan Hong Kong pada November.

“Saya terlalu gembira dengan kejayaan ini, langsung tidak pernah memikirkannya. Saya rasa, menjalani latihan bersama Datuk Lee Chong Wei memberi banyak manfaat.

“Paling menggembirakan saya adalah menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun kerana saya amat mahu menewaskannya selama ini,” kata Daren.

Pemain ranking ke-24 dunia itu menewaskan pilihan ketujuh kejohanan, Hu Yun di pusingan kedua. Pemain Hong Kong itu berada di ranking ke-15 dunia ketika ini.

Selepas mengejutkan Hu Yun, dia menundukkan pemain Jepun Sho Sasaki yang berada di ranking kesembilan dunia buat kali kedua, selepas menewaskan pemain utama pemain negara matahari terbit itu di Terbuka Denmark lalu, menjadikan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain 3-2 memihak kepada Sasaki.

Di separuh akhir, Daren langsung tidak memberi peluang buat pilihan keenam, Jan Jorgensen dari Denmark untuk menempah pertemuan dengan juara remaja Dunia 2010, Viktor Axelsen.

“Sejak menewaskan Sasaki di Denmark, keyakinan saya untuk menang tinggi jika melihat diundi menentangnya,” kata Daren.

Pada perlawanan akhir itu, smash silang Daren nyata memerangkap Axelsen dan setiap kali dia melompat tinggi, dia bagai menunjukkan bayang-bayang Chong Wei di atas gelanggang.

“Saya tidak mengikut gaya permainan Chong Wei dan itulah gaya permainan saya selama ini. Jurulatih juga meyakinkan saya yang serangan menjadi kekuatan.” Selepas meraih kemenangan ini juga, Daren begitu pasti cabarannya tidak lagi mudah.

“Saya pasti mula diperhatikan pemain lain. Malah beban saya akan lebih tinggi selepas ini namun saya tidak mahu perkara itu membelenggu permainan saya,” kata Daren.

No comments:

Post a Comment