Monday 12 November 2012

BAM Akan Jumpa Park Joo Bong di Hong Kong Open


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh sendiri akan bertemu dengan ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong pada Kejohanan Siri Super Terbuka Hong Kong 20-25 November ini, sebagai langkah akhir memastikan bekas pakar beregu dari Korea itu datang ke Malaysia.

BAM yang pada awalnya sekadar mahu melantik beliau sebagai Pengurus Projek bagi memantau perjalanan tiga projek Olimpik, iaitu Projek 2016, 2020 dan 2024, menukar rancangan mereka untuk mewujudkan semula jawatan Pengarah Kejurulatihan selepas mendapati Joo Bong akan tamat kontrak bersama Jepun, Mac depan serta menyuarakan minat untuk kembali ke Malaysia buat kali kedua.

“Presiden (Nadzmi) sendiri akan bertemu dan berbincang dengan Joo Bong di Hong Kong, selepas itu kita akan dapat keputusan muktamad sama ada Joo bong akan ke Malaysia atau kekal bersama Jepun,” kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Jurulatih yang pernah melatih pemain beregu lelaki negara pada 2000 hingga 2003 itu mengejutkan BAM selepas menyatakan sukar untuk meninggalkan Jepun dengan tawaran kontrak baru.

Pada mesyuarat Ahli Majlis BAM kelmarin, badan induk badminton negara itu serius mahu mendapatkan Joo Bong, namun sebulat suara untuk tidak menandingi tawaran kontrak Persekutuan Badminton Jepun (JBF).

Pada pertemuan awal BAM dan Joo Bong, difahamkan jurulatih itu sendiri meminta bayaran gaji RM40,000, penginapan disediakan, cukai pendapatan diuruskan majikan serta menanggung perbelanjaan penerbangan ke Malaysia, satu kontrak normal kecuali memohon diikat selama empat tahun, bukannya dua tahun seperti yang diamalkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada dasarnya BAM dikatakan bersetuju dengan semua permintaannya termasuk kontrak empat tahun kerana bersesuaian dengan kitaran Olimpik.

Justeru kini apakah agaknya pelan B BAM untuk projek Olimpik 2016, 2020 dan 2024 sekiranya Joo Bong benar-benar menolak tawaran.

Adakah mereka akan menunggu sehingga Joo Bong menolak tawaran ataupun memulakan langkah mencari jalan lain, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan badan induk badminton negara itu.

No comments:

Post a Comment