Friday 2 November 2012

LCW Test Suit Kahwin Tajaan Lord's Taylor


PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan memakai lima persalinan bernilai RM25,000 tajaan Lord’s Taylor pada majlis perkahwinannya.

Chong Wei juga memakai persalinan dijahit Lord’s Taylor di Kompleks Beli Belah Bangsar itu, menggunakan fabrik berkualiti tinggi tajaan Dormeuil yang diperbuat daripada gabungan bulu biri-biri dan sutera, jenama dari Perancis yang berpangkalan di England.

Master Cutter Lord’s Tay lor, Robert Loh berkata, beliau akan menjahit empat pasang pakaian (sut), sehelai baju ves dan sepasang Tong Chong terbaik untuk jaguh negara itu.

“Kami akan pastikan pada malam perkahwinan Chong Wei, dia akan memakai pakaian terbaik, kemas dan berprestij,” kata Robert yang sudah 25 tahun menjahit pakaian untuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pelakon Hollywood, Mel Gibson dan pereka kasut terkenal, Jimmy Choo.

Empat pasang sut Chong Wei dibuat menggunakan fabrik Dormeil berwarna putih, perak, separa kelabu dan biru pelangi manakala Tong Chong yang dipakai untuk minum petang diperbuat daripada sutera China dari Shanghai.

Ves pula diperbuat daripada sutera jacquard china, juga dari Shanghai.

Lord’s Taylor menaja pakaian perkahwinan Chong Wei selepas pemenang pingat perak Olimpik London itu menyuarakan keselesaan memakai pakaian yang dijahit butik itu selepas memakainya buat kali pertama ketika menghadiri satu anugerah berprestij.

“Kami bukan saja menaja pakaian Chong Wei, malah keluarganya juga,” kata Robert lagi.

Sementara itu, isteri Robert, Liew Lee Lee yang juga Pengarah Urusan Lord’s Taylor berkata, seramai lima tukang jahit terbabit menyiapkan sut perkahwinan Chong Wei dalam tempoh lapan hari.

“Pemilihan warna dibuat dengan mengambil kira padanan warna busana yang dipakai pengantin perempuan, Wong Mew Choo,” kata Lee Lee yang mengesahkan sut pengantin Chong Wei siap dua hari sebelum jamuan makan malam 10 November.

Hari ini, giliran Mew Choo pula mencuba dan mengukur busana di butik L&D Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, hanya Mohd Arif Latif dan Misbun Ramdan Misbun meneruskan cabaran negara di GP Emas Terbuka Jerman.

Arif mengharungi cabaran getir daripada pemain Ukraine, Vitaly Konov sebelum menang 18-21, 21-19, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan Lukas Schmidt dari Jerman di pusingan ketiga hari ini.

No comments:

Post a Comment