Friday 23 November 2012

Park Joo Bong Kekal Dengan Skuad Jepun



PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kini boleh melupakan Park Joo Bong dengan merencana pelan sokongan lain, bagi mencari calon baru untuk mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan kerana ketua jurulatih Jepun itu pasti tidak akan menerima tawaran badan induk itu apabila mengambil keputusan untuk kekal di negara Matahari Terbit itu.

Pengumuman kegagalan BAM memikat Joo Bong itu akan dibuat Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh esok selepas beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan pakar beregu itu di Hong Kong, malam ini.

Dua minggu lalu, bibit-bibit Joo Bong tidak akan kembali ke Malaysia semakin ketara apabila BAM mengaku pemenang pingat emas Olimpik Barcelona 1992 itu menyatakan kemungkinan khidmatnya tidak dapat diperoleh selepas Jepun mengemukakan kontrak baru selama dua tahun, menyambung perjanjian lama yang berakhir Mac tahun depan.

Difahamkan keputusan untuk tidak ke Malaysia juga kerana ingin menjaga hati majikannya Persatuan Badminton Jepun yang benar-benar mahukan beliau kekal, langsung tiada kaitan dengan bayaran gaji RM40,000 yang akan diterimanya jika bersama Malaysia.

Dilema Joo Bong menolak Malaysia juga dikatakan ada kaitan dengan kesihatan bapanya yang uzur di Korea kerana memudahkannya untuk berada dekat dengan keluarganya berbanding Malaysia.

Hasrat Joo Bong ke Malaysia sebelum ini dikatakan berpunca daripada tugasan beliau yang kurang mencabar bersama skuad negara Matahari Terbit itu, apabila lebih banyak memainkan peranan sebagai pengurus berikutan pemain kebangsaan negara itu tidak menjalani latihan pusat, sebaliknya bersama kelab di negeri masing-masing.

Justeru BAM mesti bertindak pantas untuk mencari calon pengganti Joo Bong atau kembali ke pelan asal, melantik Pengurus Projek, namun pokok pangkalnya pencarian calon baru mesti dilakukan.

Kalau BAM tetap dengan pendirian mahu melantik Pengarah Kejurulatihan, mereka perlu mencari pakar berpengalaman luas di tahap tertinggi dan cekap mengurus tiga projek jangka panjang, 2016, 2020 dan 2024 bagi sasaran pingat Olimpik.

Jika sekadar mahukan Pengurus Projek di kalangan warga tempatan, mereka perlu mencari individu yang cekap mengurus sambil mempunyai kemahiran berinteraksi dengan baik bagi mendapatkan maklum balas tepat daripada jurulatih dan pemain.

No comments:

Post a Comment