Wednesday 21 November 2012

Yu Yang Nafi Ingin Bersara



Bintang badminton wanita China, Yu Yang menafikan ingin bersara selepas dibatalkan penyertaan pada temasya Sukan Olimpik London sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh terhadap permainannya selepas merangkul gelaran pertama sejak kembali beraksi.

Yu Yang serta rakan gandingannya, Wang Xiaoli adalah antara lapan pemain beregu yang dibatalkan penyertaan di London selepas sengaja kalah bagi membolehkan mereka mendapat undian lebih selesa pada pusingan suku akhir.

Yu Yang, 26, kemudian mencuri tumpuan apabila bergandingan semula dengan Wang untuk memenangi Terbuka China minggu lalu sejak mengumumkan untuk bersara sehari selepas penyertaannya dibatalkan Ogos lalu.

“Ini kali terakhir saya beraksi. Selamat tinggal Persekutuan Badminton Dunia (WBF) selamat tinggal sukan badminton yang saya cintai,” katanya di laman blog peribadi.

“Selepas bekerja keras dan cuba mengatasi masalah kecederaan, penyertaan kami dibatalkan. Anda memusnahkan impian kami.” 

Bagaimanapun, Yu Yang yang juga akan beraksi bersama Xiaoli pada Terbuka Hong Kong minggu ini, mendakwa tidak pernah memutuskan untuk bersara.

“Saya tidak pernah kata mahu bersara. Orang lain yang berkata begitu, bukan keluar dari mulut saya.
“Hukuman itu amat mengejutkan kerana tidak pernah berlaku dalam sukan badminton. Tapi keputusan itu dibuat WBF dan tiga lagi beregu daripada dua negara turut menerima hukuman sama.

“Kami tidak dapat melakukan apa-apa selain menerimanya saja. “Ada masanya kami akan berdepan situasi gembira dan sebaliknya dalam hidup ini dan apa yang boleh kami lakukan ialah cuba mengawal perasaan ketika berdepan situasi seperti itu. Kini saya mahu beraksi semula.” 

Ahad lalu, Yu Yang dan Xiaoli menewaskan pilihan keenam dari Jepun, Miyuki Maeda dan Satoko Suetsuna di Shanghai untuk muncul juara Terbuka China. 

No comments:

Post a Comment