Wednesday 4 July 2012

"Jangan pikir sangat pasal pingat"


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diingatkan agar tidak terlalu memikirkan mengenai peluang untuk meraih pingat menjelang Sukan Olimpik 2012 bermula 27 Julai ini.

Sebaliknya, jurulatih beregu campuran negara, Jeremy Gan mahu anak-anak buahnya itu fokus dalam setiap perlawanan yang perlu diharungi pada temasya yang bakal berlangsung di London itu nanti.

"Saya lebih suka jika mereka (Peng Soon-Liu Ying) fokus satu demi satu perlawanan berbanding memikirkan mengenai peluang meraih pingat.

"Saya bimbang jika mereka terlalu memikirkan mengenai peluang untuk mendapat pingat, ia mampu menjejaskan prestasi mereka dalam perlawanan nanti. Sudah pasti ia suatu perkara yang tidak baik," kata Jeremy ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Jeremy, beliau mahu memastikan Peng Soon-Liu Ying berada pada tahap prestasi terbaik dan menggunakan segala kelebihan yang dimiliki mereka bagi menghadapi pihak lawan di bumi London nanti.

Jelasnya, beregu campuran negara itu memiliki kelebihan dari aspek serangan balas dan kombinasi antara kedua-dua mereka namun gagal menampakkan konsistensi dalam kejohanan-kejohanan yang disertai mereka.

"Mereka ada kekuatan yang tersendiri tetapi tidak konsisten. Ada ketika, mereka berjaya menggunakan segala kelebihan tersebut tetapi ada ketika sebaliknya dan ini yang saya tidak mahu.

"Saya mahu mereka sentiasa konsisten dan itu yang saya sedang cuba lakukan ketika ini.

"Saya harap sesi latihan fasa akhir di Universiti Bath, United Kingdom bermula 13 Julai ini dapat membuatkan mereka lebih yakin, fokus dan konsisten dalam corak permainan mereka," jelas Jeremy.

Peng Soon-Liu Ying layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012 apabila menghuni tangga kelapan ranking dunia.

Peningkatan yang dipamerkan Peng Soon-Liu Ying dalam beberapa kejohanan sebelum ini telah meletakkan mereka sebagai prospek untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik yang dilakar Peng Soon-Liu Ying tahun ini adalah mara ke peringkat separuh akhir Seluruh England Mac lalu.

Kedua-dua pemain itu juga berjaya bergelar juara Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia dan naib juara GP Australia.

No comments:

Post a Comment