Friday, 27 July 2012
LCW SEDIA BERENTAP
Wembley Arena yang menjadi gelanggang Kejohanan Badminton Dunia 2011 pastinya kurang digemari oleh jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
Gelanggang tersebut hampir menyaksikannya menjuarai Kejohanan Dunia buat kali pertama, namun terpaksa akur dengan kehebatan musuh tradisinya dari China, Lin Dan.
Ketika itu, Chong Wei hanya memerlukan beberapa mata sahaja lagi untuk bergelar juara tetapi kebangkitan Lin Dan memusnahkan impiannya untuk menggenggam gelaran pertama pada Kejohanan Dunia.
Kali ini, Chong Wei kembali semula ke Wembley Arena. Misinya kali ini berbeza. Bukannya untuk memburu gelaran dunia tetapi untuk merealisasikan impian 27 juta rakyat Malaysia agar pingat emas pertama Sukan Olimpik mampu dicapai.
Meskipun masih dihantui dengan kekalahan pada Kejohanan Dunia di gelanggang yang sama, kali ini Chong Wei tidak akan membiarkannya berulang.
"Ia (aksi pada Kejohanan Dunia) merupakan kekalahan yang sangat mengecewakan. Saya hanya memerlukan satu mata untuk meraih gelaran tetapi Lin Dan bangkit hebat untuk memenangi perlawana tersebut.
"Ketika itu, saya melakukan banyak kesilapan dan ia dipergunakan seepnuhnya oleh Lin Dan. Kali ini saya tidak akan membiarkan perkara yang sama berulang.
"Saya akui memang ini satu tugas yang sukar tetapi kekecewaan pada Kejohanan Dunia tahun lalu di Wembley Arena telah memberikan saya semangat baharu untuk memburu pingat emas buat negara.
"Wembley Arena tidak begitu baik dengan saya tahun lalu, namun pada Olimpik kali ini keadaan akan berubah," jelas Chong Wei.
Selepas Kejohanan Dunia itu, perjalanan karier Chong Wei tidak selancar yang diharapkan. Ketika dia gigih melakukan persediaan bagi menghadapi Sukan Olimpik London, pelbagai masalah dilaluinya.
Paling buruk ialah ketika dia mengalami kecederaan pada pergelangan kaki semasa menggalas tanggungjawab negara pada Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China.
Ekoran kecederaan tersebut, ramai yang tidak yakin bahawa Chong Wei akan kembali ke gelanggang.
Namun Chong Wei tetap tabah dan gigih menjalani rawatan pemulihan agar peluangnya untuk kembali beraksi di Wembley Arena tidak terjejas.
Kini, episod malang Chong Wei sudah berakhir dan dia sudah bersedia sepenuhnya untuk turun gelanggang dengan harapan untuk mara lebih jauh pada temasya kali ini.
Namun, ketika undian dilakukan dua hari lalu, Chong Wei tidak mahu terlalu memikirkan siapa yang menjadi lawannya pada saingan peringkat awal.
"Saya hanya fokus terhadap permainan dan siapa yang bakal menjadi lawan adalah perkara kedua," katanya.
Andai mara ke pusingan separuh akhir, lawan yang menantinya ialah Chen Long dari China.
"Semua pemain yang beraksi pada Olimpik kali ini mempunyai impian untuk meraih pingat emas. Walaupun Lin Dan pernah memenanginya tetapi dia juga tetap memasang impian untuk memenanginya lagi," tambah Chong Wei.
Label:
Olympic 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment