Wednesday, 18 July 2012

Pasangan badminton Britain bimbang


Selepas mengejutkan dunia tahun lalu, pasangan badminton Britain, Imogen Bankier dan Chris Adcock menjangkakan mereka mampu mencetuskan kebimbangan ke atas pesaing mereka di Olimpik London.

Pasangan yang tidak menjadi pilihan itu meraih pingat perak selepas tewas kepada pilihan utama Zhang Nan dan Zhao Yunlei pada Kejohanan Dunia 2011 di Arena Wembley, gelanggang sama yang digunakan pada Sukan Olimpik London.

China yang memenangi tiga pingat emas Olimpik di Beijing empat tahun lalu, menyapu bersih lima gelaran di Wembley dan mendominasi ranking dunia perseorangan lelaki dan wanita.

Imogen, 24, yang sedia untuk penampilan pertama di Olimpik berkata dia dan Adcock tidak seharusnya dipandang rendah walaupun mereka sudah hilang elemen kejutan.

“Banyak pasangan bersedia untuk kami dan mereka sudah melakukan kerja rumah dan ia kami hadapi pada baki musim lalu (selepas kejohanan itu),” kata pemain kelahiran Glasgow itu dan juga anak pengerusi juara liga bola sepak Scotland, Celtic, Ian Bankier.

“Kini kami sudah berlatih dengan lebih gigih dan membaiki segenap aspek permainan. Saya fikir kami kini mampu menundukkan pasangan lain bukannya tampil dengan status underdog atau cuba mengejutkan lawan.”

No comments:

Post a Comment