Friday 20 July 2012

LCW DALAM MOOD YG BAIK


HARAPAN emas negara, Datuk Lee Chong Wei belum mencapai tahap kecergasan terbaik 100 peratus namun tetap cekal menjalani latihan rutin seperti biasa, di kem latihan pusat skuad badminton negara ke Olimpik, di Universiti Bath, London.

Jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock ketika dihubungi berkata, Chong Wei memberi komitmen tinggi dalam latihan walaupun kakinya memberi reaksi kurang baik.

“Kecederaan kaki Chong Wei setakat ini bertambah baik namun belum 100 peratus pulih. Ada reaksi ditunjukkan kakinya, membengkak selepas menjalani latihan tapi itu perkara biasa,” kata Seu Bock.

Menurut jurulatih itu lagi, Chong Wei berada dalam ‘mood’ yang baik dan seronok menjalani latihan, malah pemain nombor dua dunia itu bersama rakan sepasukan lain tiada masalah membiasakan diri dengan cuaca, persekitaran serta gelanggang latihan di Bath.

“Cuaca di sini tidak terlalu sejuk, suhu sekadar mencecah 18 darjah cuma keadaan agak buruk ketika dua hari pertama akibat hujan menyebabkan suhu berada di paras 13 darjah selsius.” Ketika ditanya mengenai bentuk latihan yang ditekankan kepada Chong Wei, beliau berkata, pemain itu menjalani latihan biasa di gelanggang selain sesi gimnasium namun masih merujuk kepada pakar terapi Sandra Fiedler untuk proses pemulihan.

Sementara itu, Seu Bock berkata, Chong Wei kini bersedia untuk berdepan tempoh permainan yang panjang.

“Dalam latihan, kami biasakan dia dengan permainan melebihi sejam dan dia berjaya mengharunginya malah mampu menyerap tekanan dengan baik.

“Selain boleh beraksi dalam jangka waktu lama, dia juga menunjukkan kemahiran teknikal yang amat bagus,” katanya lagi.

Jurulatih itu juga yakin format baru perlawanan iaitu mengharungi liga ‘round robin’ di peringkat awal memberi kelebihan kepada anak didiknya yang sudah dua bulan tidak menyertai kejohanan antarabangsa.

Katanya permainan liga ‘round robin’ memberi ruang buat Chong Wei membiasakan diri dengan suasana pertandingan, gelanggang dan persekitaran dewan.

No comments:

Post a Comment