Thursday, 19 July 2012

Fairuzizuan-Zakry bantu Australia


IMPIAN beraksi di Sukan Olimpik mungkin sudah berkubur buat gandingan Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif, namun mereka tetap mampu memberi sumbangan bermakna kepada Olimpian dunia apabila dipanggil skuad badminton Australia, membantu beregu lelaki negara itu melakukan persiapan untuk ke Olimpik London bulan ini.

Fairuzizuan dan Zakry yang kembali berada di kelompok 30 terbaik dunia sejak bergandingan semula September tahun lalu pada ranking ke-320, dilihat Persatuan Badminton Australia sebagai permata yang boleh menyimbah gandingan mereka aura yang boleh membantu pada saingan badminton Olimpik yang akan bermula 28 Julai ini.

Gandingan itu dipanggil untuk menjadi rakan sepelatih kepada Ross Smith-Glenn Warfe, gandingan yang kini berada di ranking ke-37 dunia.

“Kami dipanggil membantu Smith-Warfe meningkatkan permainan menjelang Olimpik, sebagai latihan fasa akhir mereka dan kami amat gembira melakukannya meskipun kami tidak berpeluang beraksi di Olimpik,” kata Zakry.

Gandingan yang pernah menjadi harapan negara sebelum dipisahkan pada tahun terakhir mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, peluang sebegini tidak selalu datang dan mereka mesti menghargainya.

“Kami ke Australia bukan soal bayaran tapi untuk membantu, dalam masa sama kami mendapat rakan sepelatih kerana di bawah KLRC juga kami kurang pilihan, apa lagi kami mendapat rakan yang mempunyai corak permainan berbeza.” Fairuzizuan-Zakry berlatih bersama Smith-Warfe selama dua minggu bermula 2 Julai lalu dan kembali ke Malaysia pada Sabtu lalu.

“Kami sekadar membantu, dan mereka menunjukkan peningkatan dalam jangka masa singkat. Dari segi permainan memang saya tidak fikir mereka boleh mencabar pingat emas, namun saya dan Fairuzizuan yang kali pertama berlatih di luar negara ini mula nampak betapa cepatnya pemain luar negara mencerap pelajaran baru.

“Sebagai pemain profesional, kami dapat rasakan bertambah matang apabila mendapat peluang sebegini. Smith-Warfe suka bertanya dan setiap pertanyaannya dan membantu mereka memantapkan permainan seumpama kami melakukan bedah siasat permainan kami sendiri,” kata Zakry lagi.

Australia tidak mempunyai ramai pemain kerana atlet mereka tidak berlatih sepenuh masa, sebaliknya berkerja.

Di bawah pemantauan jurulatih China, Ricky Yu, Zakry mengakui dia dan Fairuzizuan juga mendapat pengalaman berharga.

Selain Fairuzizuan dan Zakry, pemain perseorangan KLRC, Muhd Hafiz Hashim kini berada di India apabila dijemput persatuan negara itu menjadi rakan sepelatih dengan Kashyap Parupalli sambil melatih pemain remaja negara itu selama tiga minggu.

No comments:

Post a Comment