Tuesday, 31 July 2012
MISI WAJIB MENANG
HANYA kemenangan ke atas gandingan Korea Selatan, Chung Jae Sung- Lee Yong Dae mampu mencerahkan laluan beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ke peringkat separuh akhir.
Kedua-dua pasangan tersebut bakal membuat perhitungan di Wembley Arena, London awal pagi esok bagi menentukan siapa lebih berhak dinobatkan selaku juara Kumpulan D selepas masing-masing mengesahkan slot ke kelompok lapan terbaik.
Ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her berkata, ia merupakan sasaran utama Kien Keat-Boon Heong untuk saingan bagi peringkat kumpulan.
“Itu yang kita mahukan iaitu Kien Keat-Boon Heong bergelar juara Kumpulan D. Mereka akan berjumpa naib juara Kumpulan B pada aksi suku akhir dan jika menang, beregu ini akan bertemu pemenang antara juara Kumpulan C atau naib juara Kumpulan A.
“Ia bukan sahaja mencerahkan laluan ke peringkat separuh akhir tetapi Kien Keat-Boon Heong tidak akan berdepan lawan yang terlalu sukar pada aksi tersebut,” kata Kim Her
Terdahulu, kedua-dua pasangan tersebut mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas masing-masing berjaya mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan awal sebelum ini dalam saingan Kumpulan D.
Bagaimanapun Kim Her menjelaskan, nasib Kien Keat-Boon Heong juga bergantung terhadap perlawanan antara satu lagi pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Sung dengan Mohamad Ahsan-Bona Septano dari Indonesia pada aksi Kumpulan B yang dijadual berlangsung awal pagi tadi.
“Perlawanan antara Sung Hyun- Yeon Sung dengan Ahsan-Bona adalah misi hidup dengan mati gandingan dari Korea Selatan itu.
“Jika menang, mereka akan layak ke peringkat suku akhir selaku naib juara Kumpulan B.
“Situasi itu kemungkinan besar akan menyaksikan Jae Sung-Yong Dae melepaskan kemenangan kepada Kien Keat-Boon Heong. Ini kerana, mereka sudah pasti tidak mahu berdepan antara satu sama lain.
“Namun, saya sudah mengingatkan Kien Keat-Boon Heong agar tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut sebaliknya fokus terhadap satu demi satu perlawanan yang perlu di- harungi.
Mengikut format pertandingan, juara Kumpulan D akan berdepan naib juara Kumpulan B, manakala juara Kumpulan B akan menentang naib juara Kumpulan D pada aksi peringkat suku akhir.
Justeru, jika Kien Keat-Boon Heong menang dan bergelar juara kumpulan, mereka akan membuat perhitungan dengan Sung Hyun-Yeon Sung dalam saingan kelompok lapan terbaik andai beregu Korea Selatan itu turut layak.
Beregu Thailand, Bodin Issara-Maneepong Jongjit yang dijangka akan mudah bergelar juara Kumpulan B akan menentang Jae Sung-Yong Dae.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment