Sunday, 29 July 2012

LIN DAN YAKIN MENANG


Bekas budak nakal badminton China yang juga pemain nombor satu dunia, Lin Dan kini semakin matang hasil kejayaan di Sukan Olimpik Beijing dan ingin menjadi atlet pertama mempertahankan gelaran Olimpik badminton di London.

Berbekal empat gelaran dunia, dua pingat emas Sukan Asia dan sejumlah kejuaraan Super Series, tidak banyak perlu dicapai atlet berusia 28 tahun itu.

Pegawai tentera ini seorang pejuang, justeru mahu sekali lagi mengagumkan penonton selepas membalut tubuhnya dengan bendera China di depan penyokong setia di Beijing.

“Saya tidak merasakan apa-apa perbezaan kali ini. Saya masih mahu memenangi pingat emas kali ini seperti 2008,” katanya.

Lin Dan menjadi pilihan kedua apabila berdepan wakil Ireland, Scott Evans dalam perlawanan pembukaan, esok tapi masih ada yang belum jelas siapa pencabar sebenar kali ini.

Lin Dan menuju ke stadium sama tahun lalu, berjaya mengatasi pencabar utama, Datuk Lee Chong Wei untuk meraih kemenangan, mengoyakkan baju selepas berjaya mempertahankan gelaran dunia.

Chong Wei pilihan utama di London tapi cedera buku lali di Piala Thomas, Mei lalu dan menganggap dirinya 90 peratus cergas. Ancaman utama Lin Dan pastinya rakan senegara, atlet nombor tiga dan empat dunia, Chen Long dan Chen Jin.

“Jika menang tiga kejohanan dunia dan Olimpik dalam masa empat tahun, tidak syak lagi saya percaya dia pemain perseorangan terbaik sepanjang zaman,” kata pemain nombor lima dunia dari Denmark, Peter Gade.

Lin Dan tidak bimbang dengan pertandingan di tahap tertinggi tanpa sokongan yang membawanya untuk memenangi pingat di Beijing.

“Beraksi di laman sendiri memberikan lebih tekanan berbanding di luar negara. Di tempat sendiri ramai orang menyokong anda dan mengharap anda menang gelaran itu. Suara dalam kepala anda terus berkata 'anda perlu menang' jadi ia meningkatkan tekanan.

“Bermain di luar negara lebih mudah secara emosinya kerana anda hanya perlu fokus terhadap persediaan dan menjalankan rancangan anda dengan teratur yang boleh memberikan hasil yang baik.”

No comments:

Post a Comment