Monday, 16 July 2012

ZULFADLI TUNJUK KEMAMPUAN



PEMAIN Wilayah Persekutuan, Zulfadli Zulkiffli mencipta sejarah peribadi apabila mengungguli pingat emas pertama acara badminton setelah menewaskan Tan Kian Meng dari Johor pada perlawanan akhir semalam.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Kuantan tersebut menyaksikan juara remaja dunia itu menundukkan Kian Meng 21-14, 13-21, 21-7 untuk dinobatkan sebagai pemenang acara perseorangan lelaki pada temasya kali ini.

Zulfadli yang ketinggalan lapan mata pada set kedua perlawanan mengakui pencabarnya itu turut mempamerkan corak yang hebat sehingga memaksanya bekerja keras sebelum bangkit pada set penentuan.

"Perlawanan final memang sengit, strategi juga agak sama. Tetapi faktor fizikal dan mental memberi kelebihan kepada saya.

"Pada set ketiga saya dapati dia (Kian Meng) sudah letih dan saya gunakan kesempatan itu untuk memungut mata.

"Ini merupakan pertemuan kedua kami. Sebelum ini saya pernah tewaskannya pada (pusingan kalah mati) Grand Prix Final Remaja Kebangsaan 2011 di Bukit Kiara," katanya yang beraksi buat kali ketiga pada Sukma.

Pingat gangsa pula diraih seorang lagi pemain Johor, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menewaskan Lim Yu Fu dari Sabah 21-16, 21-18.

Sementara itu, emas bagi acara perseorangan wanita pula menjadi milik pemain Selangor, Yang Li Lian yang mene- waskan Sonia Cheah Su Ya dari Wilayah Persekutuan (12-21, 21-8, 21-13) pada aksi final semalam.

Selangor turut meraih pingat gangsa bagi acara wanita menerusi Thinaah Muralitharan yang menewaskan Lim Chiew Sien dari Johor 21-19, 21-7 pada aksi perebutan tempat ketiga.

Pingat emas bagi kategori beregu lelaki pula diraih pasangan Melaka, Ow Yao Han- Tai An Khang yang menewaskan pasangan Kedah, Goh Jian Hao-Pang Zheng Lin 21-12, 21-15 pada perlawanan akhir.

Bagi beregu wanita pula, Chow Mei Kuan-Shevon Lai Jemie dari Wilayah Persekutuan menewaskan pemain Negeri Sembilan, Kisona Selvaduray-Ng Hui Ern 21-14, 21-18 untuk mengungguli emas acara tersebut.

Emas bagi acara beregu campuran pula dimenangi tuan rumah menerusi Chooi Kah Ming-Lai Pei Jing yang menewaskan pemain Negeri Sembilan, Low Juan Shen- Ng Hui Ern 19-21, 21-19, 21-17.

No comments:

Post a Comment