Wednesday 15 August 2012

AHMAD SHABERY CHEEK MOHON MAAF


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan kontinjen Malaysia meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Mengaku bertanggungjawab atas kegagalan 'menuai' pingat emas, Ahmad Shabery begitupun menyifatkan kegagalan atlet dalam temasya Olimpik kali ini lebih kepada faktor nasib.

Ahmad Shabery berkata, walau- pun gagal meraih emas pertama, kejayaan kontinjen Malaysia mengulangi pencapaian pada Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan meraih satu perak dan satu gangsa tetap membanggakan.

"Saya minta maaf. Saya tahu semua orang mengharapkan atlet kita membawa pulang pingat emas tetapi nasib tidak menyebelahi kita.

"Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan kegagalan kontinjen Olimpik negara memenuhi sasaran," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut kepulangan skuad akuatik negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Jelas Ahmad Shabery, biarpun berjaya meraih dua pingat, masing-masing menerusi acara badminton dan terjun, kegagalan membawa pulang pingat emas memberi petanda banyak lagi usaha perlu dilakukan semua pihak.

Enggan mengulas lanjut sama ada program Road To London yang mendapat peruntukan RM20 juta sebagai gagal atau sebaliknya, Ahmad Shabery juga tetap berbangga dengan pencapaian semua atlet yang bertanding kali ini.

"Kita berjaya mara dalam lapan final, dengan lima daripadanya menerusi acara terjun, basikal, badminton dan juga renang 10 kilometer maraton.

"Bagi saya, itu amat memberangsangkan dan membuktikan kita kini mempunyai acara lain yang boleh disandarkan mendapat pingat," ujarnya.

Ahmad Shabery berkata, Olimpik kali ini dianggap lebih kompe- titif berbanding Olimpik Beijing empat tahun lalu dan ia dapat dilihat berdasarkan dominasi pungutan pingat negara-negara lain kali ini.

Justeru katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dalam kadar segera bagi mengatur persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa prospek termasuk atlet yang sedia ada. Jadi, kita akan ber- bincang dengan persatuan sukan tersebut untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berjanji akan menyegerakan proses penaiktarafan infrastruktur latihan yang sebelum ini mengundang kritikan banyak pihak.

"Ia akan dilakukan mengikut keperluan. Pandelela sendiri sudah menyuarakan mengenai keadaan infrastruktur di Pusat Akuatik Bukit Jalil. Jadi, kita akan berbuat se- suatu mengenainya," ujar Ahmad Shabery.

No comments:

Post a Comment