Thursday 30 August 2012

IKUT CARA LCW


SUDAH tiba masanya barisan pemain muda menuntut ilmu daripada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock berkata, setiap pemain muda negara harus menggunakan kesempatan yang ada bagi meningkatkan lagi tahap prestasi mereka dengan menimba ilmu daripada Chong Wei.

"Chong Wei kini sudah tidak sibuk seperti dahulu yang mana dia perlu fokus bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik 2012. Jadi, ini adalah masa terbaik buat pemain-pemain muda negara belajar sesuatu daripada Chong Wei.

"Lagipun, sebelum ini pemain-pemain muda inilah yang banyak membantu Chong Wei dengan menjadi rakan-rakan sepelatihnya.

"Kini, Chong Wei mungkin boleh membalas kembali pertolongan pemain- pemain muda dengan berkongsi pengalaman dengan mereka terutama untuk menjadikan mereka pemain bertaraf dunia," kata Seu Bock.

Menurut beliau, antara pemain paling utama yang perlu menggunakan peluang tersebut ialah Liew Daren.

Katanya, Daren meru- pakan pemain yang hampir menyamai corak permainan yang dimiliki oleh Chong Wei.

"Daren memang ada potensi besar. Cuma dia tidak memiliki konsistensi dalam permainannya.

"Apa yang saya lihat, corak permainan Daren hampir sama dengan Chong Wei. Jadi, dia boleh bertanya kepada Chong Wei bagaimana untuk menjadi lebih konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.

"Daren mempunyai masalah untuk membuat keputusan dalam perlawanan. Ada ketika dia hilang fokus sehingga tidak tahu bagaimana mahu merencanakan corak permainannya.

"Justeru, mungkin Chong Wei boleh bantu dia untuk mengajar cara terbaik bagi merencanakan corak permainannya terutama dalam membuat serangan ke atas pihak lawan.

"Daren juga boleh bela- jar daripada Chong Wei bagaimana cara untuk menguatkan mentalnya. Ini kerana, dia memang ada masalah dari aspek kekuatan mental," jelas Seu Bock.

Ketika ini, Daren yang menghuni ranking ke-26 dunia merupakan pemain kedua terbaik negara sele- pas Chong Wei.

Bagaimanapun, dia masih gagal mengangkat diri- nya sebagai calon paling layak menggantikan tempat Chong Wei andai pemain No. 2 dunia itu bersara.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Daren tahun ini ialah mara ke peringkat suku akhir Seluruh England pada Mac lalu.

Selain Daren, antara pemain muda negara yang dilibat bakal menyinar suatu hari nanti ialah Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Misbun Ramdan Misbun, Loh Wei Sheng dan Chong Wei Feng.

No comments:

Post a Comment