Monday 13 August 2012
LCW TERIMA HABUAN 500K
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima ganjaran RM500,000 di atas kejayaannya meraih pingat perak dalam acara perseorangan badminton sukan Olimpik London 2012.
Ganjaran itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam majlis di Seri Perdana yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Ganjaran RM300,000 sumbangan Skim Hadiah Kemenangan Sukan, Majlis Sukan Negara dan RM200,000 dari kerajaan Malaysia dalam bentuk Amanah Saham Wawasan.
Selain itu, Chong Wei turut menerima hadiah seutas jam tangan yang disampaikan Rosmah, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri mengucapkan tahniah di atas kejayaan jaguh badminton negara itu meraih pingat perak dan yakin ia akan menguatkan lagi azam Chong Wei untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang di Olimpik 2016.
“Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi dia (Chong Wei) untuk meraih emas tapi dia sudah berhempas pulas dan berjuang habis-habisan. “Itu sudah menunjukkan betapa besar jiwanya untuk mencapai kejayaan dan diharapkan tidak putus asa untuk mencipta kejayaan yang lebih membanggakan,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyatakan persetujuan mengenai cadangan mewujudkan Akademi Badminton Negara di Pusat Latihan Badminton Stadium Juara Bukit Kiara.
Sementara itu, Chong Wei, 30, berkata dia akan mempertimbangkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat dia kembali merebut pingat emas pertama pada temasya Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri atas ganjaran hari ini, saya akan simpan duit itu. Walaupun tidak dapat membawa balik pingat emas, kerajaan masih memberi sokongan kepada saya. Bagaimanapun saya telah buat yang terbaik,” katanya.
Chong Wei berharap dengan sokongan itu, ia akan menyuntik semangat untuk dirinya meneruskan aksi di sukan Olimpik akan datang, sebagaimana yang dihasratkan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun saya perlu lihat prestasi saya dua tahun lagi iaitu selepas Sukan Asia Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel Glasgow, Scotland, kedua-duanya pada 2014. Jika masih ‘fit’(cukup cergas) saya akan teruskan pada Olimpik 2016,” katanya.
Label:
Lee Chong Wei
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment