Wednesday, 22 August 2012
BAM TIDAK INTAI EMAS DI BRAZIL
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan keutamaan untuk memenangi pingat emas pertama buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Sebaliknya, badan induk sukan badminton negara itu mahu memberi fokus terhadap perancangan jangka masa panjang apabila meletakkan sasaran untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2024.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, sasaran tersebut lebih realistik kerana mereka mempunyai tempoh 12 tahun untuk melaku- kan persiapan berbanding dengan tempoh jangka masa pendek.
“Bukan kata BAM langsung tidak memberi keutamaan terhadap Sukan Olimpik 2016. BAM akan tetap melakukan perancangan ke arah itu tetapi tidak boleh memberi jaminan akan mampu menyumbangkan pingat emas.
“Dalam tempoh masa yang singkat, hanya beberapa perkara sahaja yang mampu dilakukan.
“Namun, jika ada tempoh yang panjang untuk melakukan persiapan, peluang untuk memenangi pingat emas itu pasti lebih cerah,” kata Nadzmi ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, bukan perkara yang mudah untuk mencari pemain yang benar-benar boleh diletakkan sandaran bagi memenangi pingat emas dalam tempoh jangka pendek, sekali gus menggantikan tempat jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.
“Untuk tempoh empat tahun akan datang, saya tidak fikir kita boleh jumpa pemain sehebat Chong Wei. Jika bernasib baik, mungkin kita boleh jumpa.
“Sebab itu, saya mahu bersikap realistik. Dengan 12 tahun yang ada, BAM akan melakukan perancangan rapi bagi melahirkan pemain bertaraf dunia untuk bersaing di pentas antarabangsa,” jelas Nadzmi.
Sebelum ini, BAM dikritik hebat ekoran kegagalan Chong Wei meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.
Pemain No. 2 dunia itu terpaksa akur apabila sekadar membawa pulang pingat perak selepas tewas kepada seteru utamanya, Lin Dan dari China pada final acara perseorangan lelaki.
Ekoran kegagalan di London itu juga, segelintir pihak mendesak Nadzmi dan barisan kepimpinan BAM meletak jawatan bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui persatuan tersebut
Label:
BAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment