Friday, 10 August 2012
IMPIAN LCW MEMBURU EMAS DI OLIMPIK RIO DE JANEIRO, BRAZIL 2016
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya Datuk Lee Chong Wei masih mampu untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Beliau berkata, sekiranya Chong Wei, 30, berjaya mengekalkan tahap kecergasan serta prestasinya, bukan sesuatu yang mustahil buat pemain badminton No. 2 dunia itu bergelar juara dunia dalam tempoh empat tahun akan datang.
"Jika kita lihat pada usia, Peter Hoeg Gade, 36, (pemain Denmark) dan Taufik Hidayat, 31, (pemain Indonesia) masih lagi beraksi pada Sukan Olimpik 2012 biarpun usia mereka sudah meningkat.
"Begitu juga dengan Chong Wei. Jika dia berasa masih boleh beraksi, tidak ada apa yang mustahil.
"Bagi saya, tempoh empat tahun masih dalam jangkauan bagi atlet yang mahu mencapai kejayaan lebih tinggi di pentas antarabangsa," kata Ahmad Shabery yang ditemui ketika majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur kelmarin.
Menurut Ahmad Shabery, berdasarkan pencabar-pencabar Chong Wei ketika ini, hanya Lin Dan, 29, dari China yang mampu menggugat kedudukan jaguh negara itu.
"Jika dibandingkan dengan Lin Dan, jurangnya tidak terlalu besar dengan Chong Wei.
"Namun, jika dengan Chen Long, 23, (pemain China) yang berada di bawah Chong Wei, ia terlalu jauh. Sebab itu, jika Chong Wei berjaya mengekalkan tahap kecergasannya, tidak mustahil dia boleh melakar kejayaan," jelasnya.
Terdahulu, Chong Wei memberi bayangan awal bahawa dia akan terus mengerah kudratnya untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2016.
Katanya, jika keadaan fizikalnya berada pada tahap terbaik, selain bebas daripada masalah kecederaan, dia mungkin akan terus membawa cabaran negara pada temasya terbesar di dunia itu.
Kenyataan Ahmad Shabery itu hadir selepas Chong Wei gagal dalam misinya merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.
Ia ekoran kekalahan yang dialaminya di tangan seteru utamanya, Lin Dan pada aksi final acara perseorangan badminton lelaki di Arena Wembley, Ahad lalu.
Kekalahan itu menyebabkan dia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas turut memenanginya pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.
"Buat masa sekarang, bagilah Chong Wei rehat dahulu.
"Dia sudah penat berjuang untuk negara dan mungkin masih berada dalam keadaan kecewa kerana gagal memenangi pingat emas. Biarlah dia yang menentukan keputusannya," tambah Ahmad Shabery.
Label:
Lee Chong Wei
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment