Wednesday 6 June 2012

BadMinTon NegAra TenAt..




SUKAN badminton negara berada dalam keadaan kritikal. Demikian jelas bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar semalam.

Elyas berkata, BAM perlu melakukan transformasi secara menyeluruh bagi meletakkan semula Malaysia sebagai kuasa besar dalam sukan badminton dunia.

Katanya, pucuk pimpinan dalam BAM juga perlu dirombak termasuklah kedudukan presiden badan induk itu, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

"Suatu ketika dahulu, kita berada dalam kelompok tiga negara yang mendominasi sukan badminton dunia selain China dan Indonesia.


"Namun, kini kita hanya menduduki ranking keenam dunia dan bagi saya, ia amat memalukan.
"Banyak yang perlu dilakukan BAM jika mahu melihat Malaysia kembali sebagai kuasa besar dunia dalam sukan badminton dan ia termasuklah dari aspek program pembangunan yang dianggap sangat penting," kata Elyas ketika ditemui pemberita di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Nadzmi selaku presiden, beliau menegaskan bahawa jawatan itu perlu diambil alih oleh 'orang baharu'.

Jelasnya, selepas 12 tahun menerajui BAM, Nadzmi sepatutnya sudah lama meletak jawatan kerana sukan badminton negara tidak menghasilkan kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa termasuklah gagal merampas kembali trofi Piala Thomas.

"Jika dalam saingan bola sepak Liga Perdana England kita akan lihat jurulatih-jurulatih akan dipecat sekiranya tewas dalam dua atau tiga perlawanan sahaja.

"Malah, ia bukan terjadi dalam bola sepak sahaja tetapi sukan-sukan di dunia yang lain juga menerapkan perkara yang sama.

"Begitupun, kita tidak ada budaya seperti ini di Malaysia. Ketika saya memegang jawatan selaku Presiden BAM dahulu, saya sendiri menetapkan tempoh enam tahun untuk membuktikan kemampuan.
"Malah, saya sendiri memberitahu bahawa saya akan letak jawatan jika skuad negara gagal merangkul trofi Piala Thomas 1992. Namun, syukur skuad negara berjaya melakukannya.

"Jadi, berilah peluang kepada orang baharu yang mempunyai idea yang lebih berkesan untuk menerajui BAM demi kemajuan sukan badminton negara," jelas Elyas.

Sebagai rekod, Elyas memikul tugas selaku Presiden BAM bermula pada 1985 hingga 1993.
Ketika BAM di bawah pimpinannya, skuad negara berjaya menjulang trofi Piala Thomas 1992 selepas menewaskan Indonesia pada aksi final di Kuala Lumpur.

Nadzmi pula mula menjawat jawatan Presiden BAM sejak tahun 2000 hingga kini.
Menurut Elyas, perkara paling penting yang perlu dilakukan BAM ketika ini bagi menyelamatkan semula maruah Malaysia ialah segera mewujudkan akademi badminton.

Beliau berkata, akademi badminton ini sangat penting bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Ketika saya menjadi presiden, saya telah berusaha untuk mendapatkan tanah bagi mewujudkan akademi badminton negara. Sayangnya, usaha saya itu tidak diteruskan apabila saya keluar daripada BAM.

"Bagi saya, akademi badminton ini sangat penting kerana kita boleh mengenal pasti bakat-bakat baharu, memberi tunjuk ajar kepada para pemain dan seterusnya menghantar mereka beraksi pada kejohanan antarabangsa.
"Daripada situlah kita boleh melahirkan ramai pemain bertaraf dunia," kata Elyas.

No comments:

Post a Comment