Friday 1 June 2012

BAM peRlu BrtGjwAb....



PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu bertanggungjawab jika gagal membawa pulang emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, acara badminton masih menjadi sandaran utama negara untuk meraih emas pada temasya itu menerusi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong.

"Jika gagal memenangi emas pada Olimpik, seluruh BAM perlu bertanggungjawab.

"Bukan sahaja BAM, malah saya dan rakan di MSN (Majlis Sukan Negara) serta ISN (Institut Sukan Negara) juga harus bertanggungjawab.

"Ini kerana pencapaian emas di London menerusi program Road to London merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tahun ini," kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas melancarkan BSN Maraton Malam Putrajaya 2012 semalam.

Menurut Ahmad Shabery, pada masa ini, BAM perlu memfokuskan pada Sukan Olimpik dan mengetepikan dahulu perancangan jangka panjang seperti melakukan rombakan jurulatih dan lain-lain.

Dalam pada itu, Chong Wei dikatakan tidak mungkin pulih daripada kecederaan buku lali kanannya dalam masa empat minggu seperti diramalkan sebelum ini.

Pakar fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN) Sandra Fiedler berkata, pemain No. 1 dunia itu harus diberi tempoh sekurang-kurangnya lima hingga enam minggu untuk sembuh sepenuhnya.

"Saya tidak fikir (boleh pulih dalam tempoh minggu). Kecederaan itu boleh bertambah teruk sekiranya beliau memaksa dirinya terlalu kuat.

"Bagaimanapun, beliau dalam keadaan fizikal yang baik, jadi pemulihan boleh dipercepatkan sedikit," katanya selepas mengadakan sesi fisioterapi dengan Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, Chong Wei juga harus sentiasa mengekalkan tahap kecergasannya bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Fiedler juga tidak menolak kemungkinan Chong Wei mengalami trauma akibat kecederaan tersebut.

"Saya mengandaikan bahawa selalu ada semacam ketakutan mengimbas kembali kejadian itu tetapi ia adalah sebahagian daripada latihan fisio yang anda cuba untuk memulihkan kembali kenyakinan atlet berkenaan," katanya.

Chong Wei mengalami kecederaan itu ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada peringkat kumpulan Piala Thomas di Wuhan, China, minggu lalu.

Kecederaan itu ternyata menjejaskan persiapan Chong Wei dalam menghadapi Sukan Olimpik 2012, apatah lagi dia merupakan sandaran emas pertama negara pada temasya tersebut.

No comments:

Post a Comment