Wednesday 13 June 2012

SEKARANG atau LUPAKAN SAJA...


SEKARANG atau lupakan sahaja hasrat untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London bulan depan.

Itu situasi yang perlu diharungi beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang akan turun beraksi pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2012 hari ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her berkata, Terbuka Indonesia kali ini akan menjadi 'kayu pengukur' terhadap kemampuan sebenar Kien Keat-Boon Heong.

Ia penting bagi menilai sejauh mana tahap kemampuan beregu emas negara itu dalam misi membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012.

Kata Kim Her, tanpa kehadiran beregu No. 1 dunia, Chai Yun-Fu Haifeng dari China, Kien Keat-Boon Heong perlu menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk mara ke peringkat separuh akhir.

"Saya harap mereka menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

"Seperti saya pernah katakan sebelum ini, Kien Keat-Boon Heong perlu mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dan saya mahu mereka membuktikannya pada Terbuka Indonesia kali ini.

"Ia penting bagi meningkatkan tahap keyakinan mereka sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula," kata Kim Her ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi pusingan pertama yang akan berlangsung di Stadium Istora Senayan hari ini, beregu No. 8 dunia itu akan berdepan pasangan dari Indonesia, Angga Pratama Ryan Agung Saputra.

"Saya sudah beritahu kepada mereka, jika ada peluang untuk menamatkan perlawanan dengan cepat, gunakan ia sebaik mungkin. Berdepan dengan pasangan Indonesia itu bukan sesuatu yang mudah. Jangan main-main dengan bola mati," jelas Kim Her.

Jika menang ke atas pasangan Indonesia itu, laluan Kien Keat-Boon Heong akan menjadi lebih mudah pada pusingan kedua hingga ke peringkat suku akhir kerana mereka dijangka berdepan dengan beregu bukan pilihan.

Bagaimanapun, Kien Keat-Boon Heong akan berdepan tugas getir jika melangkah ke peringkat separuh akhir kerana dijangka menentang beregu No. 5 dunia, Chai Biao-Guo Zhendong dari China.

Sementara itu, dua pemain perseorangan muda negara, Mohd. Arif Latif dan Misbun Ramdan Misbun gagal mara ke pusingan pertama kejohanan apabila terkandas pada aksi peringkat kelayakan semalam dan turut menimpa nasib yang sama ialah beregu muda, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han.

1 comment:

  1. Playland Hotel and Casino - MapYRO
    Find your ideal spot for exploring the Casino, Las Vegas 공주 출장샵 area. Find your 당진 출장샵 ideal 세종특별자치 출장샵 spot to get a taste of Las Vegas. Explore the reviews 의정부 출장샵 and the detailed 군포 출장안마

    ReplyDelete