Thursday 14 June 2012

Beregu Utama Negara Ke 2nd Round..


BEREGU harapan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membalas kekecewaan kepada gandingan muda Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra di Terbuka India lalu dengan menewaskan mereka dua set berturut-turut.

Kemenangan 21-14, 21-17 di pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Indonesia itu bukan hanya membolehkan mereka mara ke pusingan kedua, malah menebus persembahan hambar di Piala Axiata, April lalu yang menyaksikan mereka tewas di tangan lawan sama.


Prestasi Kien Keat-Boon Heong akan terus dipantau kerana gandingan itu menjanjikan perubahan besar selepas segala kemahuan termasuk menukar jurulatih dituruti.

Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pula melakar kejutan ke atas pilihan keenam kejohanan yang juga pemain tuan rumah, Mohammad Ahsan-Bona Septano 21-16, 19-21, 21-17.


Mereka akan berdepan satu lagi gandingan tuan rumah, Andrei Adistia-Christopher Rusdianto di pusingan kedua hari ini.


Gandingan veteran yang kini bernaung di bawah payung KLRC, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari yang juga naib juara Terbuka Thailand minggu lalu, melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi gandingan Jerman, Ingo Kindervater-Johannes Schoettler 21-12, 21-23, 21-13.

Mereka berdepan beregu utama negara, Kien Keat-Boon Heong di pusingan kedua.


Sementara itu, ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang masih diulit kecederaan buku lali menyaksikan tiada pemain perseorangan lelaki negara mara ke pusingan kedua hari ini.

Liew Daren yang dikatakan bakal mengambil alih kedudukan pemain nombor satu negara tewas kepada Hans-Kristian Vittinghus 14-21, 25-23, 14-21.


Pemain profesional Muhd Hafiz Hashim pula gagal mengejutkan pilihan utama, Chen Long dari China apabila tunduk 21-16, 11-21, 19-21.


Nasib berbeza dilalui dua beregu wanita negara. Ketika gandingan veteran Chin Eei Hui-Wong Pei Tty melangkah ke pusingan kedua, Woon Khe Wei-Vivian Hoo pula kandas seawal pusingan pertama.


Eei Hui-Pei Tty mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan gandingan Thailand, Sujitra Ekmongkolpaisarn-Peeraya Munkitamorn 21-14, 21-14 dan bakal berdepan pilihan ketujuh dari Korea, Jung Kyung Eun-Kim Ha Na hari ini.


Khe Wei-Vivian pula gagal mengatasi gandingan tidak terkenal Indonesia, Komala Dewi-Jenna Gozali 18-21, 19-21.

No comments:

Post a Comment