Friday 8 June 2012

ProJeK 2016 AgeNdA BAM



PROJEK 2016 semakin kerap dilaungkan, apakah ia bakal menjadi alasan terbaru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas bintang harapan emas Olimpik London, Datuk Lee Chong Wei semakin malap atau ia satu keazaman yang sebenar, semuanya dapat dilihat selepas Sukan Olimpik berakhir Ogos depan.

Bekas Ketua Pengarah Prestasi Tinggi (HPD) yang kini menjadi ahli Pasukan Prestasi Tinggi (HPT), Datuk James Selvaraj menegaskan bahawa Projek 2016 pasti akan membuahkan hasil andai mengikut perancangan program yang sudah diatur.

“BAM memang meletakkan sasaran untuk membangunkan Projek 2016, iaitu program empat tahun yang terdiri daripada pemain muda sebagai pemain berkelas dunia akan datang. Namun jaminan kejayaannya hanya jika BAM meneruskan program seperti yang sudah saya sediakan,” kata James yang berada dalam HPT bersama Lt (B) AJ Wong yang dipengerusikan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai.

James berkata, cadangan yang dikemukakan beliau itu menamakan jurulatih pelapis Hendrawan sebagai ketua untuk memastikan kejayaan Piala Thomas dan Olimpik 2016.

“Hendrawan orang paling sesuai. Lihat saja apa yang dilakukannya ke atas Misbun Ramdan Misbun dan Goh Soon Huat. Dua pemain ini bertambah bagus.

“Sekarang, pemain yang berada dalam Projek 2016 inilah yang harus diberi keutamaan mendapat pendedahan kejohanan antarabangsa.

“Mereka tidak boleh dipisahkan baik di pindah kepada jurulatih lain mahupun dihantar di kejohanan berbeza. Tapi perlu faham bahawa Projek 2016 tidak mengekang penyertaan pemain lain seperti Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren atau lain-lain. 

Mereka akan terus menyertai kejohanan seperti biasa, mewakili negara di kejohanan-kejohanan utama, cuma pendedahan lebih kepada Projek 2016.” Setakat ini seramai lapan pemain berada dalam Projek 2016 iaitu Misbun Ramdan Misbun, 21, Iskandar Zulkarnain, 21, Loh Wei Sheng, 20, dan Zulfadli Zulkifli, 19, (KLRC) bagi acara perseorangan lelaki manakala beregu pula terdiri daripada Ow Yao Han, 20, Chooi Kah Ming, 21, Teo Ee Yi, 19, dan Nelson Heg, 19.

Beberapa hari lalu, bekas presiden BAM Tan Sri Elyas Omar sekali lagi menyelar badan induk badminton itu dengan mengatakan tiada program yang betul serta enggan menerima kritikan, namun dalam akhbar semalam, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh mendakwa pihaknya sedia menerima cadangan daripada mana-mana pihak.

Harapan yang tinggal kini hanyalah sejauh mana keterbukaan BAM dalam menerima cadangan atau mereka sekadar mahu menerima dan menggunakan akal yang mendatangkan kerosakan dalam persatuan itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

No comments:

Post a Comment