Tuesday 26 June 2012

Round Robin bantu LCW


Format round robin yang akan digunakan dalam acara badminton di Sukan Olimpik akan memberi ruang kepada Datuk Lee Chong Wei untuk kembali kompetitif selepas terlepas dua kejohanan Siri Super sebelum ini.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, selepas cedera pada pertandingan Piala Thomas dan terlepas kejohanan Premier Siri Super Terbuka dan Terbuka Singapura, Chong Wei yang kini masih dalam proses pemulihan fizikal dan mental, amat memerlukan perlawanan kompetitif untuk kembali ke tahap permainan sebenarnya.

"Format round robin bagus untuk pemain profesional sebab mereka boleh anggap ia sebagai pemanas badan. Chong Wei perlu fokus pada setiap perlawanannya," katanya ketika ditemui di Stadium Juara, semalam.

Mengikut format baru acara badminton yang bermula dengan edisi Sukan Olimpik di London, pada pusingan awal bagi acara perseorangan, pemain akan dibahagi kepada 16 kumpulan dengan setiap kumpulan dibarisi empat pemain yang bersaing dalam perlawanan round robin.

Hanya juara setiap kumpulan kemudian akan bersaing dalam pusingan kalah mati.

Bagi acara beregu, 16 pasangan akan bersaing dalam empat kumpulan menerusi pusingan round robin sebelum dua gandingan terbaik dari setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati.

Berbaki 32 hari lagi sebelum Olimpik 2012 berlangsung di London, Tey berkata tumpuan lebih diberikan kepada kemantapan persediaan mental Chong Wei.

"Keadaan Chong Wei memang baik, setakat ini kita tidak boleh paksa latihan yang berat sangat dan beliau banyak melakukan latihan biasa sahaja.

Mengulas tentang ranking Chong Wei yang kini berada pada kedudukan kedua dunia, Tey berkata ia tidak menjejaskan tumpuan Chong Wei bagi menghadapi Olimpik nanti.

"Kita memang dah agak perkara ini akan berlaku sebab Chong Wei tidak menyertai Kejohanan Premier Terbuka Indonesia baru-baru ini," katanya.

No comments:

Post a Comment