Sunday, 20 May 2012
3 SerAngKai BaKaL GeGar DuNia
KEJOHANAN Badminton Piala Axiata 2012 dianggap sebagai medan terbaik bagi tiga pemain perseorangan remaja negara - Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulqarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli menimba pengalaman.
Tampil selaku skuad kedua yang diberi nama Malaysia Leopards, barisan pemain remaja negara ternyata dilihat telah memberikan impak positif pada kejohanan yang julung kali diadakan itu.
Biarpun terkandas di peringkat separuh akhir apabila mudah dijinakkan pasukan kedua Indonesia - Indonesia Rajawali, pujian tetap harus diberikan kepada skuad Bawah 21 (B-21) tahun negara itu.
Sebelum itu, Malaysia Leopards yang turut membariskan dua gandingan beregu, Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat dan Ow Yao Han-Chooi Kah Meng terpaksa akur dengan lawan lebih berpengalaman - Indonesia Garuda pada aksi terakhir peringkat Kumpulan J.
Paling mencuri tumpuan apabila Ramdan yang juga anak kepada bekas pemain dan jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek tampil memberi tentang sengit kepada jagoan Indonesia, Taufik Hidayat.
Walaupun tumbang dalam pertarungan tiga set, kejayaan Ramdan mengheret Taufik yang juga bekas juara Olimpik dan dunia untuk beraksi hingga set penentuan harus dipuji.
Bagaimanapun, jurulatih perseorangan remaja negara, Hendrawan tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat berpuas hati dengan prestasi mereka pada kempen Piala Axiata 2012.
Menurutnya, masih terlalu awal untuk membuat pelbagai andaian terhadap kemampuan ‘tiga serangkai’ itu, apatah lagi sudah mula kedengaran ‘cakap-cakap’ yang mengatakan mereka mampu mengisi tempat jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei suatu hari nanti.
“Pemain yang telah saya didik masih muda, mereka masih di bawah usia 21 tahun. Iskandar sudah bersama saya dua tahun, Ramdan pula setahun dan Zulfadli pula dua minggu sebelum bermulanya Piala Axiata.
“Bagi saya, buat masa ini masih sukar untuk saya katakan mereka sudah bersedia untuk mengisi tempat Chong Wei.
“Chong Wei terlalu istimewa. Tidak semua orang boleh menggantikannya,” kata Hendrawan kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Bagaimanapun, Hendrawan yang juga bekas pemain Indonesia tetap yakin barisan anak-anak buahnya mempunyai bakat serta peluang untuk menjadi pemain terbaik dunia.
“Apa yang saya sedar, majoriti pemain Malaysia lambat matang tetapi ia tidak perlu dianggap negatif kerana ia memberi peluang mereka menimba pengalaman sebelum menjadi pemain terbaik dunia.
“Kita boleh lihat Chong Wei sendiri mula menunjukkan peningkatan apabila berusia 24 tahun. Begitu juga Liew Daren. Akhir-akhir ini, baru dia mula mempamerkan prestasi yang konsisten.
“Tetapi saya yakin sekiranya Ramdan, Iskandar dan Zulfadli sudah matang, mereka mampu menjadi pemain terbaik dunia seperti Lin Dan, Taufik, seterusnya menggantikan Chong Wei,” kata Hendrawan yang pernah membantu Indonesia menjuarai Piala Thomas pada edisi 1998, 2000 dan 2002.
Hendrawan berkata, semua peminat sukan badminton tanah air perlu sedar bahawa tugas yang diberikan kepada jurulatih adalah untuk menjadikan setiap anak-anak buahnya menjadi pemain terbaik.
“Jurulatih boleh melatih mereka untuk bermain dengan baik tetapi untuk menjadi seperti jaguh-jaguh badminton dunia seperti Taufek, Lin Dan serta Chong Wei, mereka perlu berusaha sendiri.
“Kita harus tahu, hendak menjadi pemain yang bagus perlu ada disiplin tetapi pada masa yang sama, tidak boleh dilupakan kekuatan mental, cara berfikir dan semangat juga penting kerana ia merupakan perkara paling asas,” ujar Hendrawan.
Mengulas mengenai prestasi ketiga-tiga pemain negara pada Piala Axiata 2012 yang dilangsungkan di Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia, Hendrawan mengakui, beliau berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan mereka,
“Pada saingan di Jakarta, mereka mampu beraksi dengan baik meskipun tewas (0-3 kepada Indonesia Garuda) tetapi paling penting, mereka menunjukkan peningkatan dalam permainan.
“Mereka masih mentah, ada masa tahap permainan akan naik dan ada masanya turun.
“Begitu juga dengan cara mereka menyerap tekanan, sama ada boleh kawal atau tidak. Selaku jurulatih, kami akan memberikan idea apabila mereka sukar menghadapi pemain lawan,” jelasnya.
Tambah Hendrawan, jika pemain-pemain muda negara sudah mencapai satu tahap yang tinggi, mereka sendiri mampu mengawal rentak permainan walaupun tanpa jurulatih terbaik.
“Pemain terbaik mampu 'bergerak sendiri' dalam gelanggang, malah jika mereka terpaksa bertukar-tukar jurulatih, ia tidak akan mendatangkan masalah,” ujar Hendrawan.
Dalam pada itu, Ramdan memberitahu, Malaysia masih memerlukan tempoh beberapa tahun lagi jika mahu mencari pemain yang boleh menggantikan tempat Chong Wei.
“Kerja keras amat diperlukan, mungkin tiga atau empat tahun lagi kerana Chong Wei berada pada tahap yang berbeza.
“Kehebatannya terlalu tinggi, jika dibandingkan dengan kami, buat masa ini sangat jauh. Namun saya tetap akan mencuba untuk menjadi pemain terbaik,” kata Ramdan.
Sementara itu, Iskandar turut mengakui pendapat yang dilontarkan Ramdan.
“Hendak jadi pemain terbaik dunia, mungkin kami memerlukan satu hingga dua tahun lagi tetapi untuk menggantikan Chong Wei, mungkin memakan masa yang lebih lama.
“Pengalaman amat penting kerana ia bukan saja dapat memantapkan tahap kemahiran, malah mempercepatkan proses kematangan terutamanya mengatasi tekanan.
“Saya yakin setiap pemain mahu menjadi yang terbaik dunia,” jelas Iskandar.
Bagi Zulfadli, dia menganggap kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa akan melambatkan lagi proses kematangan seseorang pemain.
“Setiap pemain simpanan (remaja) negara, perlu didedahkan dalam banyak kejohanan kerana daripada situ, mereka akan menimba pengalaman.
“Kalah atau menang tidak perlu menjadi masalah. Kalau tidak beraksi, maka lagi susah untuk mencari pemain yang hebat,” ujarnya.
Label:
iskandar zulkarnain,
misbun ramdan,
zulfadli
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment