Monday 21 May 2012

WaRnInG DeNmArK..



DENMARK beri amaran kepada Malaysia agar tidak terlalu yakin mampu mengungguli Kumpulan C selepas menang 5-0 ke atas Afrika Selatan pada perlawanan pertama semalam.

Perseorangan kedua, Jan O Jorgensen berkata Denmark merancang mencuri dua mata perseorangan ketika menentang Malaysia sambil satu mata lagi dikutip menerusi beregu mereka pada perlawanan esok.

“Kami tahu Lee Chong Wei sudah kembali cergas. Walau bagus macam mana sekalipun, Peter Gade tidak akan menang, jadi sasaran kami memungut mata menerusi perseorangan kedua dan ketiga sambil mengharapkan beregu menghadiahkan satu lagi mata,” kata Jorgensen.

Dia yang kini berusia 25 tahun, berkata Denmark optimis dengan persiapan kali ini, apatah lagi dengan prestasi merudum Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang belum bangkit di pentas antarabangsa.

“Saya rasa beregu utama kami boleh menang ke atas Kien Keat-Boon Heong tapi kami tetap berhati-hati kerana gandingan itu tahu bagaimana untuk bangkit dalam perlawanan besar sebegini.

“Apapun yang penting, kami perlu menang ke atas Malaysia bagi mengelak kemungkinan undian sukar berdepan China ataupun Korea Selatan di suku akhir. Tapi lawan sukar tetap menanti jika kami muncul juara kerana ada kemungkinan bertemu Indonesia yang mungkin muncul naib juara Kumpulan A di belakang China.” Meskipun yakin dan mahukan kemenangan ke atas Malaysia, Jorgensen berkata, Denmark mempunyai sejarah hitam berdepan Malaysia kerana sukar menundukkan skuad negara meskipun peluang sudah terhidang seperti di kempen Piala Thomas 2010 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Jorgensen beraksi sebagai perseorangan kedua, menyamakan kedudukan 2-2 buat Denmark ketika mengejutkan Wong Choong Hann bagi mengheret aksi suku akhir ke perseorangan ketiga yang menyaksikan Muhd Hafiz Hashim menang ke atas Joachim Persson membawa Malaysia ke separuh akhir berdepan China.

“Di peringkat senior saya tidak pernah jumpa Liew Daren dan Hafiz, tapi saya tahu apa yang perlu dilakukan jika berdepan mereka. Di peringkat remaja dulu saya pernah tewaskan Daren pada kejohanan remaja Terbuka Jerman pada 2004, tapi itu sudah lama berlalu.

“Tengoklah pada hari pertemuan Malaysia dan Denmark nanti. Skuad kami kali ini amat berbeza kerana gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda. Ini membuatkan kami lebih dahagakan kemenangan berbanding sebelumnya.”

Denmark memulakan kempen Piala Thomas mereka dengan cemerlang apabila mengalahkan Afrika Selatan 5-0 semalam.

Jorgensen yang bermain sebagai perseorangan kedua tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran lawannya, Willem Viljoen 21-7, 21-11 dalam masa 20 minit.

Pemain berpengalaman, Peter Hoeg Gade turut memberi mata kepada Denmark apabila menumpaskan Jacob Malieka 21-7, 21-6, manakala perseorangan ketiga Denmark, Viktor Axelsen menundukkan Prakash Vijayanath 21-4, 21-5.

Dua beregu Denmark juga tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan lawan masing-masing.

Boe-Morgensen mengalahkan Dorian Lance James/Willem Viljoen 21-12, 21-14, manakala Jonas Rasmussen/Petersen menumpaskan Prakash Viyajanath/Jacob Malieka 21-5, 21-5.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Thomas hari ini menentang Afrika Selatan

No comments:

Post a Comment