Thursday 31 May 2012

DaH SalAh WaT LAgI....


SEJAK disingkirkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2003, bekas pemain kebangsaan, Sairul Amar Ayob menegaskan yang badan induk negara itu, berulang kali melakukan kesilapan dengan membenarkan kepentingan diri diutamakan berbanding negara.

Sairul yang pernah berada di ranking ke-14 dunia sebelum kerjayanya ‘dijatuhkan’ pada 2003 ketika berusia 22 tahun berkata, BAM tidak pernah mempunyai perancangan dan program untuk membawa pulang semula Piala Thomas dan ini terbukti apabila badan induk badminton itu sekadar mewujudkan Projek 2016, iaitu sasaran di Sukan Olimpik Rio, Brazil.

“Sekarang kita ada ‘pool’ pemain pelapis yang agak ramai tapi mengapa mereka hanya memperkatakan mengenai Olimpik Rio, mengapa Piala Thomas diketepikan tapi dalam masa sama mereka mendakwa ada program untuk kejohanan itu,” kata Sairul.

Tambah Sairul lagi, barisan jurulatih BAM berasa selesa kerana tidak diberikan sasaran, malah ketua jurulatih yang ada boleh disifatkan menjaga ‘periuk nasi’ sendiri berbanding meletakkan keutamaan negara di depan.

“Apa yang ketua jurulatih buat saya tidak tahu. Mengapa mereka tidak boleh pertahankan pemain berbakat dengan menghantar ke kejohanan penting, sebaliknya mengikut telunjuk pengurusan, memilih pemain yang mereka suka.

“Li Yongbo, walaupun mentadbir pasukan secara kuku besi, beliau tetap menghasilkan keputusan buat China tapi jurulatih kita tidak ada hak untuk menentukan pemain.
“Lihat saja Mohd Lufti Zaim-Vountus Indra Mawan, mereka masih muda tapi tidak pernah berada dalam perancangan jurulatih untuk diketengahkan. Mereka juga melakukan kejutan ke atas beregu ternama dunia tapi peranan mereka tidak lebih dari rakan ‘sparring’.

“Jurulatih BAM juga kerap mengulangi kata-kata yang barisan pemain seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng sebagai pemain meningkat naik. Tolonglah...umur mereka sudah 25 tahun untuk dianggap bakat yang sedang meningkat naik.
“Sepatutnya pemain sebaris mereka tidak lagi berada dalam skuad dan ruang perlu dibuka seluas-luasnya kepada pemain muda seperti Goh Soon Huat, Loh Wei Sheng, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain dan Zulfadli Zulkifli.

“Saya tidak tahu mengapa BAM terlalu takut untuk memiliki lebih ramai pemain berada di kelompok 20 terbaik dunia sebaliknya hanya menaikkan satu dua pemain saja. Lihatlah padahnya apabila Datuk Lee Chong Wei mengalami kecederaan.

“Saya tidak salahkan Daren atau Wei Feng tapi mereka menjadi mangsa sekadar ‘sparring’ untuk Chong Wei. Memang bagus dapat berlatih bersama pemain nombor satu dunia tapi perlu diingat, berlatih dan bukannya ‘sparring’ semata-mata.” Justeru Sairul berpendapat barisan kepimpinan BAM diketuai Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, Exco dan jurulatih perlu meletak jawatan sekiranya tidak mampu menaikkan semula maruah badminton negara.

Sairul yang kini berusia 32 tahun pernah berada satu zaman dengan Lee Tsuen Seng, Yeoh Kay Bin dan James Chua di belakang pemain senior seperti Ong Ewe Hock dan Wong Choon Hann. Mereka berjaya berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia pada usia 22 tahun, namun senario itu tidak dapat dilihat lagi dalam arena badminton negara ketika ini.

No comments:

Post a Comment