Friday, 18 May 2012

JaLanI MenEmpElaK BAM

BEKAS pemain beregu negara, Jalani Sidek menempelak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana merosakkan imej negara.

Bagi Jalani, masih banyak cara untuk menangani isu peletakan jawatan bekas pemenang pingat perak Olimpik dari Korea Selatan, Yoo Yong Sung tapi tidak wajar BAM mendakwa jurulatih itu menuntut gaji tinggi.

“Tindakan itu memalukan negara kerana ketika Tan Kim Her menjadi jurulatih di Korea, beliau dijaga dengan baik. Namun kita pula merendah-rendahkan kredibiliti legenda Korea itu,” katanya.

Yong Sung adalah bekas pemain beregu bertaraf dunia yang kedua meletak jawatan secara mengejut dari BAM selepas legenda Indonesia, Rexy Mainaky mengambil tindakan sama dua bulan lalu.

Dua insiden itu sudah cukup buat Jalani mempersoal hala tuju pengurusan BAM yang dianggapnya tidak telus dalam melahirkan juara dunia tempatan.

“Malaysia rugi apabila melepaskan Rexy kerana kemampuannya melahirkan pasangan bertaraf dunia sudah terbukti. Lihat saja pencapaian dikecapi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebaik saja memiliki kuasa penuh melatih kedua-dua pemain itu.

“Meskipun kredibiliti Yong Sung belum terbukti, tapi berdasarkan pengalamannya beraksi di pentas tertinggi dunia, saya yakin beliau turut memiliki karisma sama seperti Rexy.

“Malangnya BAM tidak mengotakan janji membenarkan dia melatih beregu elit selepas Yong Sung mula bertugas, sebaliknya diarah melatih kumpulan pelapis.” Jalani turut muak mendengar alasan BAM yang mendakwa sudah menyediakan persiapan terbaik buat pemain. Menurutnya semua alasan itu tidak boleh diterima kerana tenaga kejurulatihan BAM dianggapnya tidak memiliki kredibiliti kerana ramai tidak pernah mengecapi pencapaian membanggakan di pentas tertinggi.

“Sudah lama BAM salahkan pemain setiap kali gagal mencapai sasaran. Hakikatnya, BAM yang bertanggungjawab menentukan hala tuju pencapaian mereka. “Jika FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) boleh, kenapa BAM tak boleh? Kenapa BAM perlu ikut cakap pemain pilih jurulatih yang mereka suka atau tidak. Jawapannya mudah, supaya senang mereka memberi alasan dan menyalahkan pemain apabila pencapaian tidak memenuhi sasaran.

“Andai pemain beregu boleh, kenapa pula permintaan pemain perseorangan memilih jurulatih mereka tidak dilayan? Saya tak faham apa sebenarnya yang ingin dikecapi kerana pegawai mahupun presiden sering membuat kenyataan berbeza.

“Demi pembangunan badminton negara, saya harap hentikanlah permainan politik ini. Demi kecemerlangan badminton Malaysia, saya harap mereka yang bertanggungjawab sedia untuk meletak jawatan andai Malaysia gagal memenangi pingat emas di Sukan Olimpik London, Julai ini,” katanya

No comments:

Post a Comment