Sunday 27 May 2012

LCW mEngIrA HarI

JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei harus mengumpul kekuatan minda sebelum beraksi pada temasya Sukan Olimpik yang akan membuka tirai dalam tempoh 61 hari lagi.

Pensyarah Kanan Sains Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sheikh Kamaruddin Sheikh Ahmad berpendapat, Chong Wei perlu mendapat bantuan pakar psikologi sukan di Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan beliau pulih 100 peratus daripada segi kekuatan mental dan keyakinan diri sebelum beraksi di London nanti.

"Untuk kembali bangkit ke tahap keyakinan sebelum ini, Chong Wei perlu mendapat kekuatan mental yang secukupnya agar dapat mengatasi tekanan akibat kecederaan yang dialami," kata Sheikh Kamaruddin semalam.

Chong Wei mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Piala Thomas di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China, Selasa lalu.

Kecederaan yang dialami menyaksikan pemain No. 1 dunia itu terpaksa menarik diri daripada menyertai kempen Piala Thomas.


Pada keesokannya harinya, Chong Wei pulang ke tanah air dan mendapat rawatan daripada dua pakar ortopedik iaitu Dr. Saw Khay Yong dan Dr. Nicholas Geary di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) dan dilaporkan akan pulih dalam masa empat minggu.

Kamaruddin berkata, pemulihan kekuatan mental perlu disegerakan bagi memastikan Chong Wei tidak berhadapan dengan situasi hilang keyakinan atau was-was untuk membuat keputusan apabila beraksi di gelanggang kelak.

Beliau juga berpendapat, sepanjang tempoh empat minggu itu, Chong Wei sebaiknya tidak melakukan latihan berat tetapi hanya menjalani latihan bercorak pemulihan kerana dikhuatiri akan mendatangkan mudarat kepada dirinya.

Katanya, jurulatih negara perlu memainkan peranan penting bagi memastikan Chong Wei tidak berdepan dengan risiko kecederaan sepanjang tempoh empat minggu itu.

"Dalam tempoh pemulihan, jurulatih perlu mengambil berat dengan keadaan semasa Chong Wei dan bijak mengatur tindakan selanjutnya bagi memastikan beliau kembali pulih sepenuhnya," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jaguh negara itu akan berdepan dengan risiko sama pada pertandingan berikutnya.

No comments:

Post a Comment