Wednesday 23 May 2012

KKRC gIlaP PemAin MudA



BAGI melahirkan lebih ramai pemain badminton berbakat, Kelab Raket Kilas Kilat (KKRC) yang berpusat di Bandar Indera Mahkota, Kuantan menubuhkan akademi untuk melatih pemain muda di sekitar daerah itu.

Idea menubuhkan akademi yang menggunakan lima tenaga pengajar itu lahir selepas KKRC melancarkan pembukaan dewan badminton terbesar di Kuantan yang mempunyai 16 gelanggang bertaraf antarabangsa.

Bagi pemilik KKRC, Lim Kar Kiat, penubuhan kelab itu bertujuan membantu meningkatkan tahap permainan di kalangan pemain muda dan beliau yakin Pahang mempunyai ramai pemain yang boleh diketengahkan.

“Walaupun gelanggang ini baru dibuka 2 April lalu, saya gembira dengan sambutan hangat daripada pemain badminton di sekitar Kuantan dengan harapan memberi keselesaan kepada mereka.

“Di KKRC ini juga turut mempunyai kedai sukan bagi kemudahan pemain mendapatkan barangan sukan seperti raket, bulu tangkis dan kasut dengan harga berpatutan,” katanya.

Kar Kiat berkata, sebagai permulaan, pihaknya menganjurkan Kejohanan Liga Beregu Badminton KKRC 2012 membabitkan 34 beregu dalam masa terdekat.

Menurutnya, pertandingan itu menawarkan hadiah RM600 kepada juara, naib juara RM300 dan RM150 untuk pemenang tempat ketiga dalam dua kategori iaitu Kumpulan A dan B.

“Sebab itu, kami menganjurkan kelas khas kepada pemain yang berminat untuk menjadi pemain berkaliber. Kelas latihan diadakan setiap Sabtu dengan yuran penyertaan RM10 dan ia terbuka kepada semua,” katanya.

Dewan badminton KKRC dibuka setiap hari dan bayaran yang dikenakan ialah RM15 sejam untuk pakej jam 9 pagi hingga 5 petang manakala RM20 dikenakan untuk mereka yang bermain mulai jam 5 petang hingga 7 malam dan RM24 untuk jam 7 malam hingga 1 pagi.

No comments:

Post a Comment