Thursday, 8 March 2012

HaFiZ KaLah LagI - All EnglAnd 2012

ANGGOTA Pasukan Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj ternyata kecewa dengan kegagalan Muhammad Hafiz Hashim menempatkan diri pada pusingan pertama kejohanan badminton Seluruh England 2012.

Awal pagi semalam, Hafiz gagal membuktikan bahawa dia masih merupakan pemain perseorangan kedua terbaik negara apabila terkandas di peringkat kelayakan.Meskipun menang pada aksi kelayakan pertama ke atas pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 21-11, 21-15, namun ia masih belum cukup untuk menjamin tempat Hafiz ke pusingan pertama apabila dia tewas dalam aksi kedua kelayakan di tangan Chou Tien Chien 21-11, 15-21, 12-21 awal pagi semalam.

Kekalahan tersebut ternyata memalukan kerana Hafiz berada dalam ranking dunia lebih tinggi berbanding lawannya iaitu ke-32, manakala Tien Chien sekadar menghuni tangga ke-56.James berkata, kegagalan Hafiz sememangnya suatu yang mengejutkan selepas dua pemain muda negara, Liew Daren dan Chong Wei Feng, masing-masing berjaya mengesahkan slot ke pusingan pertama.


"Saya memang kecewa dengan kekalahan Hafiz itu kerana Daren dan Wei Feng berjaya ke pusingan pertama."Yang pasti, keputusan itu bukan suatu yang baik buat Hafiz kerana bagi saya, dia masih merupakan pemain kedua terbaik negara selepas Datuk Lee Chong Wei," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, James berharap juara Seluruh England 2003 itu segera bangkit dan bekerja lebih keras menjelang kempen Piala Thomas di Wuhan Mei depan.

"Hafiz tidak ada pilihan lagi. Dia perlu bekerja keras ketika sesi latihan. Apabila dia pulang ke Malaysia nanti, dia akan menjalani latihan di bawah kendalian Hendrawan (jurulatih perseorangan) semula sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas."Saya harap, dia akan dapat melakukan latihan yang lebih terutama bagi memastikan fizikalnya benar-benar cergas sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan ataupun perlawanan.

"Saya percaya, jika dia dapat meningkatkan lagi keupayaan fizikalnya, dia mampu beraksi dengan baik," jelas James.Kegagalan Hafiz pada Seluruh England kali ini seharusnya memberi petanda jelas buat BAM untuk membuat keputusan yang benar-benar tepat bagi menyenaraikan pemain yang bakal menggalas cabaran skuad negara pada pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China Mei depan.

Jika kegagalan terus menghantui Hafiz, badan induk itu mungkin boleh meletakkan sandaran kepada barisan pemain muda negara bagi memikul tanggungjawab di Wuhan nanti.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 di Wuhan akan bermula 20 hingga 27 Mei depan.

No comments:

Post a Comment