Monday, 12 March 2012

HarApaN Baru MiX DoUblE

DI sebalik kegagalan mara ke pentas final pada kejohanan badminton Seluruh England 2012, masih ada sinar yang dijelmakan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Berdasarkan prestasi semasa, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan Peng Soon-Liu Ying mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London pada Julai depan.

Tatkala sandaran lebih terarah kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, pasangan ini juga dilihat mampu menjadi penyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di bumi London.

Anggota Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj turut mengakui perkara tersebut.

Beliau berkata, peningkatan demi peningkatan yang dipamerkan Peng Soon-Liu Ying dalam beberapa kejohanan sebelum ini telah menjadikan misi itu bukan suatu yang mustahil untuk dicapai.

“Saya sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan Peng Soon-Liu Ying.

“Jika sebelum ini, orang sering kali bercerita hanya Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong yang menjadi sandaran pada Sukan Olimpik, kini kita ada satu lagi peluang untuk memenangi pingat iaitu menerusi Peng Soon-Liu Ying.

“Bagi saya, ini adalah satu bonus untuk acara badminton pada Sukan Olimpik nanti,” kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas James lagi, tidak mustahil Peng Soon-Liu Ying mampu melangkah sehingga ke pentas final Sukan Olimpik sekiranya undian memihak kepada pasangan tersebut di London nanti.

“Segala-galanya bukan mustahil buat mereka (Peng Soon-Liu Ying). Jika undian memihak kepada mereka iaitu berdepan lawan yang berpotensi untuk mencatatkan kemenangan, mara ke final bukan suatu yang mustahil,” jelasnya.

Bagaimanapun, James mengingatkan Peng Soon-Liu Ying untuk terus bekerja keras pada sesi latihan bagi menerusi program yang telah direncanakan. Pasangan tersebut perlu berlatih sebagai persiapan ke Sukan Olimpik.

“Kini semua terletak di tangan mereka. Mereka perlu menanam tekad dengan membuktikan yang mereka sememangnya mahu menghadiahkan pingat Sukan Olimpik kepada kontinjen negara.

“Selain itu, Peng Soon-Liu Ying perlu bekerja keras sepanjang menjalani latihan. Mereka perlu ada inisiatif tersendiri yang mana tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan daripada jurulatih sahaja.

“Sebaliknya, mereka perlu melakukan latihan tambahan agar benar-benar bersedia bagi menghadapi Sukan Olimpik,” ujar James.

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke peringkat separuh akhir Seluruh England 2012 yang berlangsung di Arena Tertutup Nasional, Birmingham, England.

Bagaimanapun, hasrat bagi menyaksikan Peng Soon-Liu Ying menjadi beregu campuran pertama negara mara ke pentas final Seluruh England tidak kesampaian apabila tewas kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 25-27, 16-21 pada aksi separuh akhir kelmarin.

Sebelum itu, Peng Soon-Liu Ying turut cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2012 Januari lalu.

Ketika ini, pasangan tersebut menduduki ranking ke-9 dunia dan jika berjaya mengekalkan kedudukan itu, mereka hampir pasti akan beraksi pada temasya terbesar dunia itu.

No comments:

Post a Comment