Thursday 31 May 2012

"JanGan PerAm PemAin"



JANGAN peram pemain! Mungkin itulah kesimpulan ringkas yang dapat diberikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong terhadap situasi yang sedang dihadapi sukan badminton sekarang. 

Selepas rentetan kegagalan skuad negara termasuk di Piala Thomas di Wuhan lalu, Zolkples menuntut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jangan mudah memberi alasan sebaliknya perlu ‘celik’ dengan bakat yang ada pada pemain muda.
“Saya tidak tahu mengapa mereka boleh cakap macam itu. Kita ada program di negeri-negeri cuma saya rasa program ini kena diperkukuhkan dan diperkemaskan lagi.
“Jangan terlalu bergantung kepada pemain elit saja. Sudah banyak kali saya cakap, sekarang adalah masa untuk beri pendedahan kepada pemain seperti Zulfadli Zulkifli, Misbun Ramdan Misbun dan Iskandar Zulkarnain. 

“Suka ataupun tidak, ini masa untuk kita dedahkan pemain pelapis kita yang masih muda. Ini untuk masa depan kita... bukan di Piala Thomas saja tapi juga Olimpik 2016,” katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-29 semalam. 

Hadir sama, Pro Canselor UPM, Tan Sri Datuk Rozali Ismail, Naib Canselor Radin Umar Radin dan Datuk M Jegathesan. Pada majlis itu, 120 pelajar termasuk kakitangan UPM menerima anugerah atas sumbangan dan kecemerlangan mereka dalam bidang sukan. 

Dalam masa sama, Zolkples mengakui untuk melahirkan pemain berkelas dunia bukan tugas mudah tetapi ia juga bukan satu perkara mustahil sekiranya bakat muda diberi perhatian penuh bermula daripada sekarang. 
“Nak lahirkan seorang atlit bertaraf dunia bukannya mudah. Kita tengok Indonesia, saya rasa pemain badminton melebihi jumlah penduduk Malaysia tapi mereka masih lagi tercari-cari siapa pengganti Taufik Hidayat... siapa pengganti Sony Dwi Kuncoro dan siapa ganti Simon Santoso. 

“Apa harus kita lakukan adalah beri perhatian penuh kepada pemain yang sudah dikenal pasti. Bukan bermaksud kita lupakan pemain elit, khidmat mereka masih diperlukan untuk jadi rakan ‘sparring’ dengan pemain elit lain dan pemain muda,” katanya.

No comments:

Post a Comment