Friday, 25 May 2012

Pe PlaN BAM PaS Ni?????



Apakah sistem latihan perlu diubah atau pengambilan lebih ramai jurulatih berkaliber perlu dilakukan. Ini tindakan susulan yang menarik untuk dinantikan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kita gagal lagi pada Piala Thomas.

Kegagalan Malaysia ke separuh akhir bukan sesuatu yang menarik untuk dibahaskan, kerana semua orang tahu kita hadir di sini bersama pasukan lemah. Ini adalah kali kedua kita gagal melepasi suku akhir selepas mencipta sejarah hitam itu pada 2004.

Walaupun tidak bertemu China di suku akhir, menentang Korea Selatan, Denmark, Jepun atau Indonesia sekalipun tidak menjamin kita mampu layak kerana secara realistik, kekuatan kita memang terhad sama ada dibarisi Datuk Lee Chong Wei, apatah lagi tanpa jaguh No. 1 dunia itu yang terpaksa diterbangkan pulang ke tanah air kerana kecederaan.

Kelemahan badminton Malaysia memang ketara dan ia telah dibahaskan sejak empat tahun yang lalu. Persoalannya apakah tindakan yang telah diambil oleh BAM untuk mengatasi masalah ini dan apa yang akan dilakukan mereka untuk menghalang ia daripada berulang dua atau empat tahun dari sekarang?

Ketika ini banyak pihak tampil dengan idea berbeza. Ada yang mengesyorkan supaya sistem latihan pusat kebangsaan yang menjadi tunjang badminton Malaysia sejak sekian lama dihapuskan dan kita sepatutnya beralih kepada membina pusat latihan di setiap negeri.

Dalam kata lain persatuan negeri dipertanggungjawabkan mencungkil, melahirkan serta membangunkan pemain. Semua kepakaran dan jurulatih terbaik diletak di negeri mengikut keperluan, dan apabila tiba sesuatu kejohanan besar, satu sesi pemilihan khas yang dikendalikan BAM diadakan bagi memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Begitupun bagi BAM, memiliki sebuah pusat latihan kebangsaan juga masih relevan dengan syarat, persatuan negeri harus agresif dan efektif dalam membekalkan lebih ramai pemain berkualiti untuk dibangunkan.

Kekurangan dana sebelum ini dilihat sebagai penghalang utama persatuan negeri menjalankan lebih banyak program pembangunan. Namun kini dengan bantuan kewangan lebih besar yang diterima badan itu dan telah disalurkan kepada negeri, mereka percaya keadaan akan menjadi lebih baik.

Namun, untuk melihat hasilnya, ia bukan keajaiban yang boleh berlaku dalam jangka pendek. Itu tegas Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh. “Ia mengambil masa sekurang-kurangnya lapan tahun untuk kita membangunkan pemain yang boleh memberi cabaran di peringkat dunia.

“Bagaimanapun saya setuju, kita juga perlu mencari penyelesaian yang boleh memperbaiki keadaan untuk jangka pendek. Untuk melahirkan seorang lagi Lee Chong Wei ia akan mengambil masa, tetapi dalam masa yang singkat, kita kena memikirkan kaedah terbaik untuk membangunkan kelompok pemain muda yang kita miliki sekarang.

“Pemain seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng masih boleh meningkat. Kelompok bakat muda seperti (Misbun) Ramdan (Misbun), Iskandar Zulkarnain (Zainuddin) atau Goh Soon Huat harus diketengahkan untuk memastikan kita mampu tampil lebih baik dalam dua atau empat tahun dari sekarang," ujar Nadzmi.

Nadzmi tidak menafikan, kedudukan badminton Malaysia dalam dua tahun dari sekarang mungkin tidak banyak berubah, namun jika program efektif ke atas kelompok pemain di bawah kendalian Hendrawan itu dilaksanakan, ia mungkin akan mendapat hasil pada tahun Olimpik 2016.

Malah badan badminton itu juga mempunyai program khas yang dipanggil Projek 2016 yang mensasarkan 12 pemain untuk dibangunkan dalam acara perseorangan serta beregu lelaki, wanita dan campuran.

Ketika ini, hanya program tersebut dilihat mampu menjadi penyelamat Malaysia dalam tempoh empat tahun dari sekarang, namun apakah ia akan berkesan, semua bergantung kepada bagaimana perlaksaannya.

No comments:

Post a Comment