Sunday 20 May 2012
TeAm MalAysiA MeMbarA
WUHAN - Kempen Piala Thomas/Uber 2012 membuka tirai secara rasminya di Pusat Sukan Wuhan, China hari ini.
Bagaimanapun, skuad Piala Thomas negara tidak akan beraksi pada saingan pembukaan hari ini tatkala tuan rumah, China akan membuat perhitungan dengan England dalam Kumpulan A.
Kumpulan B pula bakal menyaksikan pertemuan antara Jepun dan New Zealand manakala Denmark akan menentang Afrika Selatan dalam saingan Kumpulan C.
Bagi aksi pembukaan Kumpulan D, Korea Selatan akan berdepan cabaran Amerika Syarikat.
Malaysia hanya akan turun ke gelanggang esok apabila dijadualkan menentang Afrika Selatan sebelum membuat perhitungan dengan Denmark, Selasa ini.
Atas kertas, Malaysia yang diketuai pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei diramal tidak berdepan banyak masalah untuk menumbangkan Afrika Selatan.
Bagaimanapun, ujian getir menanti mereka apabila menentang Denmark.
Pertembungan antara Malaysia dan Denmark itu lebih dilihat sebagai penentuan juara Kumpulan C.
Malaysia perlu bergelar juara Kumpulan C bagi membolehkan mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam undian untuk saingan suku akhir.
Jika itu berlaku, Malaysia dapat mengelak daripada bertembung China yang dijangka mengungguli saingan Kumpulan A.
Menyedari laluan berliku menanti mereka, Malaysia awal-awal lagi telah meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke saingan separuh akhir.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan kekuatan Malaysia pada kempen kali ini.
"Namun apa yang penting kita bermain sebagai sebuah pasukan dan kekalkan semangat berpasukan. Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya," kata Rashid.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah berkata, semua pemain berada dalam keadaan ceria dan bersemangat.
"Semua pemain sihat... yang demam, sakit semua telah sembuh. Mereka sudah tidak sabar lagi untuk beraksi," katanya.
Sebelum berangkat ke Wuhan, barisan pemain negara menjalani latihan pusat di Guangzhou selama seminggu sebagai persiapan terakhir menghadapi Piala Thomas 2012.
Pada kempen kali ini, Malaysia mempertaruhkan Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Chong Wei Feng dalam acara perseorangan manakala beregu diwakili Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong.
Label:
Thomas Cup 2012,
Wuhan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment