Thursday 17 May 2012
Pe cEr BAM???
JURULATIH beregu lelaki dari Korea Selatan, Yoo Yong Sung yang menghantar surat peletakan jawatan secara mengejut kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 30 April lalu, mendedahkan wajah sebenar badan induk badminton negara yang dianggapnya tidak profesional.
Yong Sung yang mengikat kontrak dua tahun, bermula dengan tempoh percubaan enam bulan mendakwa BAM menerusi Setiausaha Kehormat dan Pengurus Besar, Ng Chin Chai serta Kenny Goh memutar belit fakta mengenai peletakan jawatannya dengan mendakwa dia meminta bayaran RM30,000 (AS$10,000) sebulan.
“Ada media melaporkan Chin Chai dakwa saya minta bayaran tinggi tapi sebenarnya hal itu rekaan semata-mata,” kata Yong Sung yang menjemput media bagi menjelaskan kedudukan sebenar di Hartamas, semalam.
CHIN CHAI
KENNY
“Apa yang berlaku sebenarnya saya cuba mendapatkan penjelasan peranan saya sebagai jurulatih. Saya datang ke sini untuk melatih pemain Malaysia kerana saya rasa ada ilmu dan pengalaman yang boleh memberi manfaat kepada pemain negara ini.
“Ketika bertemu mereka, saya mula berasa ‘fed up’ dan berkata: “Sudahlah, biar saya berhenti saja”.
“Selepas itu Kenny dan Chin Chai bertanya berapa kamu nak, lantas isteri saya menjawab mampu bayar AS$10,000 atau lebih tinggi. Tapi, saya dan isteri katakan ini bukan soal duit, yang saya mahukan hanya pemain, saya mahu kedudukan saya sebagai jurulatih.
“Tapi saya dapati BAM tidak ikhlas, apa yang mereka katakan pada saya sebelum mengikat kontrak nyata berbeza sama sekali. Apa yang saya mahu adalah jawatan dan tugasan sebenar, saya bukannya mahu makan angin. Saya mahu laksanakan tugas sebagai jurulatih. Oleh itu saya perlukan pemain tapi mereka berikan pemain berbeza untuk saya latih setiap hari, malah saya hanya menjaga pemain terbabit selama 10 hingga 20 minit sehari.
“Apa boleh saya buat dalam tempoh itu. Saya bukannya meminta pemain tertentu seolah-olah saya ini memilih pemain.” Mengulas isu peletakan jawatannya, Yong Sung berkata: “Saya banyak bersabar dengan kerenah pengurusan terutamanya Chin Chai dan Kenny tapi saya cuba berfikiran positif kerana benar-benar ingin bantu pemain Malaysia hingga berjaya.
“Satu hari saya ditemani isteri yang membantu menterjemah bahasa Korea saya ke Bahasa Inggeris untuk bersemuka dengan Chin Chai dan Kenny bagi menyatakan hasrat meminta diberi pemain sepenuh masa untuk dilatih tapi mereka berdolak-dalik.
“Malah apabila saya memberi pandangan mengenai pemain tertentu yang berbakat dan harus diberi peluang menyertai lebih banyak kejohanan, Kenny pantas mendakwa pemain terbabit pemalas sedangkan saya tidak nampak isu itu.” Yong Sung enggan mendedahkan nama pemain terbabit kerana bimbang terus ditekan BAM tapi berkata ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her juga banyak berbohong.
Malah pemergiannya untuk mengiringi pemain beregu ke Cabaran Antarabangsa Vietnam bulan lalu juga tiba-tiba dibatalkan dua hari sebelum berlepas ke Hanoi.
“Saya hanya dimaklumkan tidak perlu pergi hingga membuatkan pemain beregu tidak diiringi jurulatih. Apabila saya minta penjelasan, pengurusan mengatakan saya perlu melatih pemain sedangkan tiada pemain di sini kerana ketika itu juga ada pemain ke Terbuka Jepun.
TAN KIM HER
“Pemain yang tinggal hanyalah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tapi Kim Her memberi amaran supaya tidak menyentuh atau melatih mereka sepanjang ketiadaannya. Apa boleh saya buat, saya bukannya orang yang suka goyang kaki,” kata bekas pemenang dua pingat perak Olimpik itu.
Label:
BAM,
Jurulatih Beregu Lelaki,
Yoo Yong Sung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment