Tuesday 29 May 2012

PenGorBanAn LCW

DATUK Lee Chong Wei sememangnya sudah banyak berkorban bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Pelbagai kejayaan telah dilakar jaguh badminton dunia itu dan semuanya untuk negara.

Kali ini, dia sekali lagi terpaksa berkorban bagi memastikan sandaran yang diletakkan di bahunya untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan berjaya direalisasikan.

Meskipun dihantui masalah kecederaan serius di bahagian buku lali kanan, Chong Wei tetap menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi temasya berprestij dunia itu di bumi London nanti.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, tiada istilah rehat buat pemain No. 1 dunia itu, sebaliknya dia akan tetap menjalani latihan ringan bagi mengekalkan tahap kecergasannya.

Katanya, mahu atau tidak, Chong Wei terpaksa mengharungi situasi tersebut bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum Sukan Olimpik membuka tirainya pada 27 Julai depan.


“Saya akan berbincang dengan pihak ISN (Institut Sukan Negara) bagi mengetahui lebih lanjut tentang kaedah terbaik buat Chong Wei untuk menjalani latihan ringan. Apa yang ISN kata boleh buat, saya akan buat dan begitu juga sebaliknya.

“Chong Wei masih boleh berdiri dan itu merupakan petanda yang cukup positif. Jika dia tidak boleh menggunakan kaki, kita akan fikirkan cara lain untuk menjalani latihan iaitu menggunakan anggota badannya yang lain.

“Mungkin ramai beranggapan ia bagai satu penyeksaan buat Chong Wei tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain dalam misi meraih pingat emas Sukan Olimpik.

“Apa yang saya harapkan, rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada Chong Wei kerana peluang untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik tetap ada,” kata Seu Bock.

Chong Wei mengalami kecederaan di buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Piala Thomas 2012 di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China, Selasa lalu.

Kecederaan yang dialaminya menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada menyertai kempen Piala Thomas.

Pada keesokan harinya, Chong Wei pulang ke tanah air dan mendapat rawatan daripada dua pakar ortopedik iaitu Dr. Saw Khay Yong dan Dr. Nicholas Geary di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) dan dilaporkan akan pulih dalam masa empat minggu.

Pemain berusia 30 tahun itu akan menerima rawatan suntikan stem cell (sel tunjang) sebanyak tiga kali iaitu kaedah yang terbaik untuk pulih dengan cepat.

Mengulas lanjut, Seu Bock berkata, Chong Wei berkemungkinan besar akan keluar daripada KLSMC hari ini setelah menerima suntikan stem cell keduanya.

“Jika esok (hari ini) dia dibenarkan keluar daripada KLSMC, dia akan diberikan rehat satu hari pada Rabu (esok) sebelum menjalani proses pemulihan di ISN pada Khamis dan Jumaat.

“Bermula Isnin, dia akan kembali menjalani latihan. Mungkin minggu pertama dia akan menghabiskan masa menjalani latihan ringan di gimnasium bagi menguatkan semula otot-ototnya. Selepas itu nanti, barulah dia akan menjalani latihan di gelanggang.

“Namun, proses latihan itu nanti akan bergantung kepada tahap kecederaannya,” jelas Seu Bock

No comments:

Post a Comment